POAD (kiri) anggap Khairul mempunyai peluang 50-50. FOTO/YAZIT RAZALI
Mohd Khairie Khalid


JURULATIH olahraga negara Mohd Poad Md Kassim berharap Raja Pecut baru Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan melangkah ke pusingan akhir acara 200 meter pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di Stadium Nasional, Bukit Jalil, petang ini.

Poad juga optimis Khairul yang masih lagi segar dengan kejayaan merangkul emas 100m lelaki malam tadi mampu memburu kejayaan berganda dalam acara 200m hari ini.

“Untuk acara 200m hari ini saya harap Khairul dapat mara ke final, tapi saya lihat dia mempunyai peluang 50-50 untuk menjadi juara kerana memiliki dua pencabar iaitu dari Thailand dan Filipina. Apa pun kami harap dia dapat buat yang terbaik,” kata Poad yang memaklumkan Khairul turut akan beraksi dalam acara berganti-ganti 4x100m.

Acara 200m separuh akhir lelaki KL2017 dijadual berlangsung petang ini sementara aksi final di sebelah malam.

Pada Sukan SEA Singapura 2015, Le Trong Hinh dari Vietnam merangkul emas selepas melakar catatan 20.89s manakala perak dimenangi Jaran Sathoengram dari Thailand (21.05s) sementara gangsa milik Jirapong Meenapra (Thailand) 21.13s.

Khairul adalah pemegang rekod kebangsaan acara 200m selepas mencatat kepantasan 20.90s pada Kejohanan Terbuka Malaysia bulan lalu sekali gus meleburkan rekod lama 20.92s berusia 49 tahun milik Tan Sri Dr M Jegathesan yang dilakar di Sukan Olimpik Mexico 1968.

Ketika mengulas mengenai larian emas 100m Khairul semalam, Poad menzahirkan kesyukuran ke hadrat Allah kerana memberikan kejayaan kepada anak buahnya di Stadium Nasional. Kejayaan itu menamatkan kemarau 14 tahun selepas kali terakhir acara riben biru dimenangi Nazmizan Muhammad di Sukan SEA Vietnam pada 2003.

Pelari berusia 19 tahun itu mencatat masa 10.38s untuk meraih emas menewaskan juara edisi lalu, Eric Cray dari Filipina dengan catatan 10.43s serta gangsa milik Kritsada Namsuwun dari Thailand (10.43s).

“Alhamdulillah Khairul berjaya meraih pingat emas, dia membuat larian yang baik. Saya tetap berpuas hati dengan catatan masa kerana tekanan di Sukan SEA berbeza dan ketika permulaan macam-macam boleh berlaku.

“Saya harap dia akan terus fokus untuk kejohanan lain selepas ini dan tidak dibelenggu dengan populariti,” kata Poad.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2017 @ 12:00 PM