Vivian Hoo (kanan) dan Woon Khe Wei mencatat kemenangan percuma selepas beregu Indonesia tarik diri kerana masalah kecederaan.
Ferzalfie Fauzi


“KAMI tidak sangka menang 3-0,” kata perseorangan wanita negara Goh Jin Wei yang berjaya membantu Malaysia mara ke perlawanan akhir acara badminton berpasukan wanita Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 selepas mengalahkan Indonesia di Arena Axiata, Bukit Jalil, hari ini.

Jin Wei yang turun selaku perseorangan kedua berjaya melaksanakan tugas dengan mudah untuk menghadiahkan mata kemenangan apabila mengalahkan Hanna Ramadini 21-16, 21-13.

“Sorakan padu penyokong ternyata membakar semangat kami di dalam gelanggang namun saya seperti kurang berpuas hati sedikit dengan permainan saya hari ini,” kata bekas juara remaja dunia itu.

Pemain berusia 17 tahun itu yang sebelum ini dibelenggu dengan masalah kecederaan buku lali berkata, mereka akan memberikan aksi terbaik menentang Thailand, esok.

“Pada Sukan SEA 2015, kita kalah kepada mereka. Memang kali ini kita beraksi di gelanggang sendiri namun mereka pula memiliki pemain yang berada di antara ranking 10 terbaik dunia,” katanya yang dijangka bertemu pemain nombor 14 dunia Nitchaon Jindapol, esok.

Berdasarkan rekod, Jin Wei pernah menumpaskan perseorangan kedua Thailand itu 21-18, 21-15 dalam pertemuan sulung mereka di separuh akhir Masters Indonesia, tahun lalu.

Dalam aksi hari ini, mata pertama Malaysia disumbangkan seorang lagi perseorangan wanita Soniia Cheah apabila berjaya mengalahkan Fitriani Fitriani 21-17, 21-17.

Kedudukan menjadi 2-0 apabila gandingan beregu wanita Vivian Hoo-Woon Khe Wei mencatatkan kemenangan ketika mendahului 7-5 berikutan pasangan beregu Indonesia Ni Ketut Mahadewi Istarani-Rosyita Eka Putri Sari terpaksa menarik diri selepas Rosyita mengalami kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2017 @ 12:32 PM