SKUAD badminton wanita negara mempamerkan pingat perak yang dimenangi selepas tewas kepada Thailand dalam acara akhir badminton wanita berpasukan Sukan SEA KL2017. -Foto MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Ferzalfie Fauzi


SKUAD badminton berpasukan wanita negara gagal mencipta kejutan apabila mengulangi pencapaian dua tahun lalu di Singapura dengan meraih pingat perak selepas tumpas 1-3 kepada Thailand dalam perlawanan akhir acara berpasukan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Arena Axiata, Bukit Jalil, hari ini.

Pemain perseorangan wanita negara Soniia Cheah berkata, dia mengakui bahawa Thailand bermain dengan baik terutama lawannya di aksi pembukaan, Busanan Ongbamrungphan.

“Dia memiliki tahap permainan yang lebih tinggi berbanding saya, apa yang boleh saya buat ialah cuba bermain sebaik mungkin.

“Bagaimanapun itu saja keputusan yang saya peroleh. Dia memiliki kelebihan daripada segi kelajuan dan saya pula kerap melakukan kesilapan mudah,” katanya.

Soniia yang akan turun beraksi dalam acara individu esok cuba untuk melupakan kekalahan di tangan Thailand dan menganggap ia sudah menjadi sejarah.

Thailand yang dibarisi pemain wanita terbaik mereka kecuali Ratchanok Intanon (beraksi di Kejohanan Dunia) ternyata berada di kelas tersendiri dan hanya kehilangan satu mata selepas perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei berjaya menumpaskan Nitchaon Jindapol.

Dalam aksi hari ini, Soniia yang diturunkan sebagai perseorangan pertama tidak dapat menandingi kehebatan pemain nombor 12 dunia, Busanan apabila tumpas 12-21, 10-21.

Hasrat untuk melihat beregu utama wanita negara Vivian Hoo-Woon Khe Wei mengikat kedudukan tidak kesampaian apabila mereka tumpas kepada Puttita Supajirakul-Sapsiree Taerattanachai 21-9, 11-21, 18-21.

Perjuangan pemain wanita negara kembali bernyala apabila Jin Wei berjaya merapatkan kedudukan 1-2 dalam saingan perseorangan kedua selepas mencatat kemenangan 22-20, 23-25, 22-20 ketika berdepan pemain nombor 14 dunia, Nitchaon Jindapol.

Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean yang turun selaku beregu kedua negara hampir melakar kemenangan apabila berjaya mengheret perlawanan sehingga ke set ketiga namun mereka kalah 12-21, 21-16 18-21 di tangan Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2017 @ 3:44 PM