EZUAN Nasir Khan (tengah) mendapat pingat emas dalam acara 50m rifle prone individu lelaki. -Foto ROSDAN WAHID
EZUAN Nasir Khan (tengah) mendapat pingat emas dalam acara 50m rifle prone individu lelaki. -Foto ROSDAN WAHID
Aziman Rosdi


KETENANGAN dan semangat ketika beraksi menjadi faktor kejayaan atlet menembak negara Muhd Ezuan Nasir Khan melakar sejarah memenangi pingat emas pertama Malaysia di Sukan SEA dalam acara 50 meter rifle prone individu lelaki dengan catatan 242.8 mata pada final di Lapang Sasar Menembak Subang, hari ini.

Dalam aksi final yang mendebarkan dengan kedudukan tiga tempat teratas sering berubah, Ezuan berjaya mengetepikan pencabar terdekat dari Singapura, Ong Jun Hong dengan kelebihan 3.3 mata manakala Kaung Htike dari Myanmar meraih gangsa dengan 220.2 mata keseluruhan.

Catatan yang dilakukan oleh Ezuan turut meleburkan rekod Sukan SEA yang sebelum ini dipegang oleh atlet Thailand Wijan Supalert iaitu 206.3 mata sebelum Persekutuan Sukan Menembak Antarabangsa menukar format baharu dua tahun lalu.

Bagi penembak negara berusia 28 tahun itu yang kini berkhidmat bersama Tentera Laut Diraja Malaysia, pingat emas terbabit dapat menebus kekecewaannya selepas gagal dalam acara 10m air rifle individu lelaki, semalam.

“Walaupun tinggal satu lagi tembakan, saya ingatkan diri saya untuk terus fokus, belum habis lagi. Bagi habis tembakan terakhir dulu baru tengok keputusan.

“Saya tak tahu keluarga saya datang, pada pertengahan final tadi, baru saya tahu apabila terdengar suara sorakan mereka, jadi saya semakin bersemangat sebab semalam saya kecewa tak menang.

“Dan saya lagi gembira kerana dalam sejarah Malaysia tak pernah menang acara 50m rifle prone di Sukan SEA,” katanya.

Kejayaan itu cukup bermakna buat Ezuan yang juga pemenang pingat perak Sukan Asia Incheon 2014 kerana sebelum ini digugurkan daripada Program Podium sebelum diserapkan ke dalam program Kita Juara.

“Kejayaan ini bukan nak membuktikan siapa betul dan siapa salah, tapi hanya untuk mencabar diri saya sendiri untuk bangkit mendapatkan kejayaan semula,” katanya.

Emas diraih Ezuan itu membolehkan skuad menembak negara menebus kekecewaan dalam dua acara final yang berlangsung awal pagi tadi di mana Bibiana Ng hanya berjaya meraih gangsa dalam acara 10m air pistol wanita individu manakala Nur Suryani Taibi dan Haslisa Hamed gagal menaiki podium dalam acara 50m rifle prone individu wanita.

Ini emas ketiga skuad menembak negara selepas Alia Sazana Azahari menyumbang emas dalam acara 25m pistol individu wanita dan Benjamin Khor dalam acara double trap individu lelaki untuk menghampiri sasaran empat emas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2017 @ 3:59 PM