MAJLIS undian Liga Juara-Juara. -Foto EPA
AFP

MONACO: Penyandang juara Real Madrid akan berdepan Borussia Dortmund dan Tottenham Hotspur pada peringkat kumpulan Liga Juara-Juara dengan juara lima kali Barcelona diundi bersama naib juara musim lalu, Juventus awal pagi tadi.

Pasukan kendalian Zinedine Zidane memburu kejuaraan Eropah ketiga berturut-turut dan keempat dalam lima musim selepas membenam juara Itali, Juventus 4-1 di Cardiff, Jun lalu.

Juara Eropah dengan rekod 12 kali itu turut berdepan APOEL Nicosia dari Cyprus dalam Kumpulan H yang menyaksikan Gareth Bale menentang Spurs buat kali pertama sejak meninggalkan Real dengan rekod dunia pada 2013.

“Kami penyandang juara jadi sering kali ada motivasi tambahan buat pasukan yang anda temui. Ia tidak mudah, kami perlu bermain bagus dan mencari prestasi terbaik kami,” kata jurucakap Real dan bekas pemain Emilio Butragueno.

“Kami sudah bermain banyak kali menentang Borussia Dortmund akhir-akhir ini dan tahu kekuatan mereka. Tottenham sudah menunjukkan dalam Liga Perdana mereka pasukan yang amat kuat.”

Penyerang Tottenham, Harry Kane berkata, dia teruja untuk turun menentang juara bertahan.

“Anda mahu menguji diri anda menentang yang terbaik dan Real Madrid adalah yang terbaik ketika ini,” kata Kane.

Barcelona menewaskan Juventus 3-1 pada final 2015 namun kelab Sepanyol itu berdepan bulan sukar apabila Neymar berpindah ke Paris Saint-Germain dengan rekod dunia 222 juta euro (RM1.1 bilion).

Mereka turut berdepan juara Greece, Olympiakos dan Sporting Lisbon dalam Kumpulan D.

Jurulatih Bayern Munich, Carlo Ancelotti akan kembali ke Paris dalam Kumpulan yang turut menampilkan Celtic dan Anderlecht.

Chelsea, satu daripada lima kelab Inggeris layak ke peringkat kumpulan, akan berdepan Atletico Madrid dalam Kumpulan C selain AS Roma dan Qarabag, pasukan pertama dari Azerbaijan layak ke peringkat itu.

Jose Mourinho akan berkunjung ke negara kelahirannya Portugal apabila Manchester United diundi dalam Kumpulan A bersama Benfica, CSKA Moscow dan Basel.

Manchester City kendalian Pep Guardiola dalam Kumpulan F di samping Shakhtar Donetsk, Napoli dan Feyenoord manakala Liverpool akan menentang Spartak Moscow, Sevilla dan Maribor dalam Kumpulan E

Jurulatih Liverpool, Juergen Klopp gembira mengelak bertemu kelab gergasi Eropah.

“Ada kumpulan dengan Barcelona, Bayern, Juventus dan Real Madrid dan tidak diundi di dalamnya lebih bagus,” ujar Klopp.

UNDIAN LIGA JUARA-JUARA

Kumpulan A

Benfica, Manchester United, FC Basel, CSKA Moscow

Kumpulan B

Bayern Munich, Paris Saint-Germain, Anderlecht, Celtic

Kumpulan C

Chelsea, Atletico Madrid, AS Roma, Qarabag

Kumpulan D

Juventus, Barcelona, Olympiakos, Sporting Lisbon

Kumpulan E

Spartak Moscow, Sevilla, Liverpool, Maribor

Kumpulan F

Shakhtar Donetsk, Manchester City, Napoli, Feyenoord Rotterdam

Kumpulan G

AS Monaco, FC Porto, Besiktas, RB Leipzig

Kumpulan H

Real Madrid, Borussia Dortmund, Tottenham Hotspur, APOEL Nicosia

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2017 @ 7:40 AM