PEMAIN Everton meraikan jaringan Sigurdsson yang membantu kelabnya layak ke peringkat kumpulan Liga Europa. -Foto Reuters
AFP

PARIS: Pemain termahal kelab Gylfi Sigurdsson menjaringkan gol voli mengagumkan selepas rehat untuk membantu Everton layak ke peringkat kumpulan Liga Europa berikutan kemenangan agregat 3-1 ke atas Hajduk Split, awal pagi tadi.

Pemain tengah Iceland itu meledak dari jarak 36 meter beberapa saat selepas rehat di Croatia apabila Everton seri 1-1 pada aksi play-off kedua selepas Jordan Pickford menyelamatkan sepakan penalti Ahmed Said pada babak kedua.

Josip Radosevic merembat masuk membantu tuan rumah mendahului 1-0 pada masa kecederaan babak pertama, namun pemain baru Everton yang dibeli dengan harga £45 juta (RM246 juta) itu berganding dengan Pickford membantu Toffees memastikan kemaraan.

Patrick Cutrone menyumbat gol tunggal apabila AC Milan menang 1-0 di laman lawan menentang kelab Macedonia, Shkendija bagi melengkapkan kemenangan agregat 7-0, namun naib juara musim lalu Ajax tersingkir di tangan Rosenborg.

Kelab gergasi Belanda itu ketinggalan 0-1 selepas aksi di Amsterdam minggu lalu namun dilihat mampu mengubah keadaan di Norway sebelum dua gol lewat pemain gantian dari Nigeria, Samuel Adegbenro membolehkan Rosenborg layak 4-2 menerusi agregat.

Marseille mara selepas menang 3-0 di laman sendiri ke atas Domzale dari Slovenia menerusi dua gol Valere Germain dan satu lagi daripada Florian Thauvin untuk layak 4-1 secara agregat.

Zenit St Petersburg mengatasi defisit 0-1 pada aksi pertama apabila pemain kebangsaan Russia, Aleksandr Kokorin menyumbat dua gol, termasuk gol kemenangan pada minit ke-105 untuk menyingkirkan Utrecht 2-1 secara agregat selepas masa tambahan.

Bagaimanapun, Fenerbahce menyertai kelab gergasi Turki, Galatasaray terkeluar daripada pertandingan Eropah apabila tewas 1-4 secara agregat di tangan kelab Macedonia, Vardar selepas tewas mengejut 1-2 di laman sendiri.

Galatasaray dikejutkan kelab tidak ternama Sweden, Ostersund bulan lalu pada pusingan kelayakan kedua.

Undian peringkat kumpulan akan dijalankan di Monaco petang ini dengan 48 pasukan - termasuk Arsenal dan Lyon - diundi dalam 12 kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2017 @ 7:50 AM