YUFEI berjaya tempah tiket ke suku akhir. -AFP
YUFEI berjaya tempah tiket ke suku akhir. -AFP
AFP

GLASGOW: Pemain China, Chen Yufei mengumumkan kehadirannya sebagai bintang baru badminton antarabangsa apabila dia mengejutkan pilihan utama dari Jepun, Akane Yamaguchi pada pusingan ketiga Kejohanan Dunia, awal pagi tadi.

Juara remaja dunia berusia 19 tahun itu menyingkirkan pemain pilihan dari Jepun itu 21-18, 21-19 untuk menempah tiket ke suku akhir menentang Ratchanok Intanon dari Thailand.

Pada set kedua, Yufei bangkit daripada ketinggalan 11-14, menang enam mata berturut-turut dan kemudian mendakwa: “Ini keputusan paling hebat dalam karier saya.

“Ia satu daripada sasaran saya tahun ini untuk menundukkan Akane dan kini saya berjaya melakukannya. Saya amat teruja dan terlalu gembira.

“Pada pertengahan set kedua saya mula melakukan beberapa kesilapan. Tapi saya berjaya menenangkan diri. Saya hadir pada Kejohanan Dunia ini dengan beberapa sasaran. Ini sasaran terbesar.

“Kini saya hanya perlu melihatnya dari sehari ke sehari. Saya tidak sabar menanti pertembungan suku akhir.”

Akane, pemain nombor dua dunia terlalu kecewa.

“Saya terlalu sedih,” akuinya. “Saya melakukan terlalu banyak kesilapan tapi dia bermain dengan amat baik.”

Pilihan kedua dari Korea Selatan, Sung Ji Hyun turut tersingkir di tangan pemain India, Saina Nehwal 19-21, 15-21.

Dalam perseorangan lelaki, pilihan utama Son Wan Ho memerlukan tiga set sebelum mengatasi pemain Thailand, Tanongsak Saensomboonsuk dan menempah aksi suku akhir menentang pemain India, Kidambi Srikanth.

Pemain nombor satu dunia dari Korea Selatan itu bergelut lebih sejam sebelum menang 21-14, 17-21, 21-13.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2017 @ 10:25 AM