DEMBELE setuju kontrak lima tahun dengan bayaran perpindahan RM535 juta tidak termasuk tambahan lain. -AFP
AFP

BARCELONA: Bintang muda Borussia Dortmund dari Perancis, Ousmane Dembele menamatkan desas-desus perpindahannya dengan bersetuju kontrak lima tahun bersama Barcelona dengan bayaran 105 juta euro (RM535 juta) tidak termasuk tambahan lain, umum kelab gergasi Sepanyol itu semalam.

“Visca Barca, Visca Catalunya!” tulis Dembele dalam Twitter menggunakan bahasa Catalunya yang bermakna ‘Hidup Barca, hidup Catalunya’.

Dembele, 20, berpindah dari Dortmund, yang mana dia digantung sejak memboikot latihan pada 10 Ogos lalu kerana memprotes selepas kelab Jerman itu menolak bidaan pertama Barca.

Nilai tambahan itu mungkin mencecah maksimum 42 juta euro (RM214 juta), menurut Dortmund, yang mana ia akan menjadi perpindahan kedua terbesar selepas Neymar berpindah dari Barca ke Paris Saint-Germain awal bulan ini.

Ia akan mengatasi perpindahan termahal pemain Perancis, ketika ini dipegang Paul Pogba yang berpindah dengan harga 105 juta tidak termasuk tambahan lain 5 juta euro (RM25 juta) dari Juventus ke Manchester United tahun lalu.

“FC Barcelona dan Borussia Dortmund sudah bersetuju dengan perjanjian bagi perpindahan Ousmane Dembele dengan harga 105 juta euro tidak termasuk tambahan lain,” dedah Barca dalam satu kenyataan.

“Pemain itu akan menandatangani kontrak lima tahun dan klausa tebus kontraknya ditetapkan pada harga 400 juta euro (RM2 bilion).

Pemain sayap itu yang beraksi tujuh kali bersama Perancis, akan tiba di Barcelona Ahad ini dan menjalani pemeriksaan kesihatan sehari kemudian.

“Tahniah adikku, membuatkan saya bermimpi!!! Jangan lupa memberikan saya satu tiket semusim,” tulis Pierre-Emerick Aubameyang, penyerang Dortmund dari Gabon dalam Twitter.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2017 @ 7:59 AM