NADAL miliki kelebihan rekod pertemuan dengan Federer.
AFP

NEW YORK: Pemain nombor satu dunia Rafael Nadal mungkin bertemu pemain ranking ketiga Roger Federer pada separuh akhir Terbuka Amerika Syarikat selepas undian perlawanan semalam.

Bintang Switzerland, Federer, yang memenangi 19 gelaran Grand Slam dan menjuarai Terbuka Australia serta Wimbledon tahun ini, tidak pernah berdepan legenda Sepanyol, Nadal pada kejohanan permukaan gelanggang keras di New York, kejohanan Grand Slam terakhir tahun ini.

Nadal, pemenang 15 kejuaraan utama yang memenangi kejuaraan Terbuka Perancis kali ke-10 tahun ini, memiliki kelebihan rekod pertemuan 23-14 ke atas Federer, namun pemain Switzerland itu menang empat aksi terakhir mereka, termasuk final Terbuka Australia tahun ini.

Nadal memulakan kempennya memburu kejuaraan ketiga Terbuka AS selepas 2010 dan 2013 dengan menentang pemain Serbia, Dusan Lajovic. Dia mungkin berdepan pemain Perancis, Richard Gasquet pada pusingan ketiga, musuh yang ditewaskannya 15 kali sebelum ini.

Pemain Sepanyol berusia 31 tahun itu mungkin menentang pemain Republik Czech, Tomas Berdych pada pusingan keempat dan menantinya pada suku akhir pilihan ketujuh dari Bulgaria, Grigor Dimitrov.

Federer, 36, memulakan kempen di Flushing Meadows menentang pemain AS, Frances Tiafoe dan mungkin bertemu pemain Australia, Nick Kyrgios pada pusingan keempat serta pilihan keenam Dominic Thiem dari Austria pada suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2017 @ 1:48 PM