ALAPHILIPPE (kiri) meraikan kejayaan menjuarai peringkat kelapan Vuelta a Espana. -Foto AFP
AFP

XORRET DE CATI, Sepanyol: Pelumba Perancis, Julian Alaphilippe menjuarai peringkat kelapan jelajah Vuelta a Espana ketika Chris Froome meninggalkan jauh pencabarnya untuk mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu keseluruhan.

Alaphilippe adalah sebahagian daripada kelompok 27 pelumba yang melakukan pemecahan awal sebelum menang mengatasi Jan Polanc dan Rafal Majka dengan dua saat dalam masa 4 jam 37 minit 55 saat.

Froome membuktikan dia kekal pelumba yang perlu dikalahkan ketika penunggang Britain itu menyasarkan untuk menjadi pelumba ketiga memenangi Tour de France dan Vuelta pada tahun sama.

Penunggang Sky Rider itu meninggalkan semua pencabar terdekatnya kecuali Alberto Contador, ketika mendaki Xorret de Cati sebelum melepasi garisan penamat untuk mengukuhkan cengkamannya terhadap Esteban Chaves kepada 28 saat.

“Saya tidak perlu menyerang tapi saya bagus menggunakan kelebihan ketika kaki masih berasa bagus,” kata Froome penuh yakin.

“Perkara paling penting bagi saya adalah cuba dan terus menekan untuk menjarakkan jurang masa dan kita akan lihat di mana saya berada selepas hari rehat pertama.”

Pelumba Ireland, Nicolas Roche kekal di tangga ketiga 13 saat lagi di belakang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2017 @ 12:48 PM