SHARIZ (tengah), Fadli (kanan) dan Khairil (kiri) memenangi emas dalam acara pecut berpasukan Sukan Sea KL2017 di Veledrom Nasional Nilai.
Azlan Muhammad Zain


“INI untuk abah,” reaksi pelumba trek negara Muhammad Fadhil Mohd Zonis selepas memenangi acara pecut berpasukan basikal hari ini

Bapanya, Zonis Mokhtar, 54, kini terlantar di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, sejak dua hari lalu akibat masalah buah pinggang.

“Dia baru dua hari dimasukkan semula ke hospital, sebelum ini tiga minggu terlantar di hospital.

“Ini untuk abah. Saya risau namun tahu abah kuat, malah yakin saya dan rakan sepasukan boleh dapat emas,” katanya yang kali terakhir bertemu bapanya dua minggu lalu.

Selepas lebih empat tahun bersama, trio lelaki negara Muhammad Khairil Nizam Rasol, Mohamad Shariz Efendi Mohd Shahrin dan Muhammad Fadhil gembira meraih gelaran antara yang terbesar dalam karier mereka.

Hakikat itu diakui Shariz Efendi yang gembira pengorbanan dan kerja keras mereka akhirnya berhasil.

“Sudah lama kami bersama dan hampir memecahkan rekod kebangsaan (44.725s). Kami akan cuba melakukannya di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) Februari tahun depan,” katanya.

Barisan pelumba negara ternyata berada dalam kelas tersendiri apabila menamatkan saingan dengan masa 44.776s manakala Thailand pingat perak (45.735s).

Gangsa milik Indonesia yang menewaskan Singapura dalam aksi penentuan tempat ketiga.

Pingat emas itu kemudian disusuli kejayaan Fatehah Mustapa dan Farina Shawati Mohd Adnan yang menewaskan Indonesia di final dengan catatan 34.671s manakala lawan mencatatkan 35.211s.

Terdahulu dalam aksi kelayakan mereka merekodkan rekod baru kebangsaan 34.140s, memecahkan rekod sendiri 35.481s pada awal tahun ini.

Ia adalah pingat emas ketiga dari Velodrom Nasional Malaysia, Nilai, selepas Irwandie Lakasek menyumbang emas pertama menerusi acara scratch pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2017 @ 10:00 PM