CONTE (kanan) tidak berhasrat tinggalkan Chelsea. -Foto AFP
AFP

LONDON: Antonio Conte menegaskan beliau tetap komited terhadap Chelsea sekalipun jika beliau tidak mendapat pemain baru yang dikehendakinya sebelum jendela perpindahan pemain ditutup Khamis ini.

Conte tidak teragak-agak melahirkan kekecewaannya terhadap kegagalan Chelsea mendapatkan pemain sasaran utamanya dan laporan hujung minggu lalu mencadangkan bos Blues itu memikirkan untuk meletak jawatan jika jendela perpindahan berlalu tanpa pemain baru menyertai kelab juara itu.

Ketika Chelsea membelanjakan £130 juta (RM714 juta) membeli Alvaro Morata, Tiemoue Bakayoko dan Antonio Rudiger sejak hujung musim lalu, Conte memberitahu pemilik Blues, Roman Abramovich beliau memerlukan skuad yang lebih kuat untuk bersaing dalam Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara.

Dikaitkan dengan pemain tengah Leicester City, Danny Drinkwater, pemain sayap Arsenal, Alex Oxlade-Chamberlain dan penyerang Swansea City, Fernando Llorente, Conte sekali lagi mengulangi harapannya untuk mendapatkan muka baru selepas menang 2-0 ke atas Everton, semalam.

Namun bekas jurulatih Juventus itu menjelaskan beliau tidak berhasrat mengundur diri tidak kira apa yang berlaku dalam pasaran perpindahan.

“Saya fikir mesej saya kepada penyokong tetap sama. Saya amat komited kepada kelab, untuk meningkatkan pemain dan pasukan saya,” katanya.

“Saya seorang jurulatih, bukan seorang pengurus, kerja terbaik saya di padang.

“Kemudian sudah tentu apabila anda mahu mengukuhkan skuad anda perlu memberi pandangan kepada kelab.

“Mereka pergi ke pasaran untuk cuba membantu kami, kadang-kadang ia boleh dilakukan, kadangkala tidak.”

Gol sumbangan Cesc Fabregas dan Morata memastikan kemenangan ke atas Everton yang kurang bermaya dan fikiran Conte pantas beralih kepada situasi perpindahan apabila beliau berdepan media di Stamford Bridge.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2017 @ 12:48 PM