NG Eain Yow sumbang emas perseorangan lelaki acara skuasy.
Devinder Singh


Kuala Lumpur: Kekecewaan yang dialami Ng Eain Yow (gambar) menjadi nadi kekuatannya apabila memenangi emas perseorangan lelaki acara skuasy di Bukit Jalil, semalam.

Selepas kekalahan mengejut di tangan Robert Garcia hingga mengakibatkan Malaysia tewas 0-2 di tangan Filipina pada separuh akhir berpasukan lelaki di sebelah pagi, Eain Yow bangkit mengalahkan rakan senegara, Syafia Kamal 11-4, 11-9, 11-2 di final individu.

“Saya rasa malam ini saya berjaya mengatasi kekecewaan yang berlaku pagi tadi,” kata Eain Yow di Pusat Skuasy Kebangsaan. “Saya cuba bersikap profesional dan bermain dengan baik. Justeru, saya gembira dapat membantu melonjakkan catatan emas keseluruhan.

“Saya agak tertekan pagi tadi. Kami menamatkan aksi agak lewat malam semalam (kelmarin) dan saya tidak cukup rehat. Ia satu pengajaran buat saya.

“Saya sepatutnya boleh bermain lebih baik di sebelah pagi tetapi ia tidak menjadi. Malam ini saya berjaya menebus kesilapan.”

Bagi Eain Yow, emas acara berpasukan lebih bermakna baginya berbanding individu.

“Memenangi acara berpasukan lebih penting tetapi pada masa sama, saya juga mahu memenangi acara individu. Justeru, saya gembira dapat melakukannya,” kata juara remaja dunia 2016 itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2017 @ 11:17 AM