PERTAHANAN UAE Mahmoud Khamis (kiri) mengekang asakan penyerang Arab Saudi, Mohammed al-Sahlawi pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018.
AFP

AL-AIN, Emiriah Arab Bersatu: UAE mengekalkan peluang mereka layak ke Piala Dunia 2018 di Russia dengan kemenangan mengejut 2-1 di laman sendiri menentang kuasa besar sebenua Arab Saudi, awal pagi tadi.

Ia kemenangan keempat buat Emiriah, yang mengumpul 13 mata selepas sembilan perlawanan untuk menghuni tangga keempat dalam Kumpulan B pada pusingan akhir kelayakan zon Asia.

Jepun mengungguli kumpulan itu dengan 17 mata diikuti Arab Saudi dan Australia masing-masing dengan 16 mata, bermakna semua empat pasukan teratas kumpulan itu masih berpeluang memastikan dua tempat automatik ke pusingan akhir tahun depan.

Kemenangan UAE di Al-Ain awal pagi tadi lebih bermakna kerana mereka bangkit seminit selepas ketinggalan untuk mengejutkan Arab Saudi.

Tuan rumah memberikan sepakan penalti apabila Mohamed Fawzi mengasari Nawal al-Abid dalam kotak penalti dan Nawal sendiri menyepak masuk dengan kaki kiri untuk meletakkan Saudi di depan pada minit ke-20.

Namun tidak lama selepas Saudi meraikan gol itu, tuan rumah meledak gol penyamaan.

Hantaran lintang Tariq Ahmed menemui Ali Mabkhout dan bintang UAE itu tidak melakukan kesilapan dengan rembatan kaki kanan dari tengah kotak penalti.

Ahmed Khalil melengkapkan kebangkitan UAE selepas sejam dengan gol menakjubkan dari luar kotak penalti yang menewaskan penjaga gol Arab Saudi, Abdulla al-Mayouf.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2017 @ 9:57 AM