MOHD Fadhil hampir memecahkan rekod kebangsaan ketika memenangi emas acara 1 kilometer ujian masa. FOTO Luqman Hakim Zubir
Azlan Muhammad Zain dan Jumiati Rosly

Nilai: Pelumba trek negara Mohd Fadhil Mohd Zonis hampir memecahkan rekod kebangsaan ketika memenangi emas acara 1 kilometer ujian masa di Velodrom Nasional Malaysia, semalam.

Fadhil yang turut memenangi emas pecut berpasukan kelmarin, melakarkan 1 minit 01.889 saat untuk mengenepikan rakan sepasukan Shah Firdaus Sahrom yang akur dengan perak dengan 1:02.356s.

Rekod kebangsaan 1:01.658s milik Mohd Rizal Tisin yang dilakukannya ketika memenangi gangsa di Kejohanan Dunia 2009 di Poland.

“Sedikit saja lagi untuk saya memecahkan rekod Rizal. Saya akan cuba lagi, mungkin boleh dicapai di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di sini Februari tahun depan.

“Bagaimanapun, saya gembira kerana mampu menang terutamanya dengan adanya Shah Firdaus yang turut mengambil bahagian. Dia sentiasa cemerlang dalam sesi latihan yang turut menghadirkan perasaan gementar buat saya,” jelas pelumba 19 tahun itu.

Sementara itu Shah Firdaus mengakui agak terkilan apabila menamatkan saingan dengan perak selepas turut tewas kepada Azizulhasni Awang di final pecut individu kelmarin.

“Semalam saya pulang agak lewat kerana ujian doping, kira-kira jam 2 pagi dan bangun pada 5 pagi. Jadi saya kurang rehat untuk menghadapi saingan hari ini.

“Semalam saya turut cuba memberikan sepenuh tenaga ketika menentang Azizulhasni dan fikir mampu membawa saingan ke perlumbaan penentuan namun gagal,” kata pemenang gangsa keirin ACC 2017 itu.

Acara 1 kilometer ujian masa boleh dianggap sebagai “bidan terjun” untuk Shah Firdaus yang lebih memberikan tumpuan kepada keirin dan pecut individu apabila beraksi di pentas antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2017 @ 10:55 AM