HECTOR yakin Jerman terus rentak kemenangan.
AFP

Berlin: Juara dunia, Jerman yang dibimbing Joachim Loew, bertandang ke Prague untuk mengharungi aksi kelayakan Piala Dunia menentang Republik Czech sambil mahu meneruskan rekod bersih yang masih lagi dipegang.

Aksi itu adalah perlawanan antarabangsa pertama Jerman musim ini selepas mereka bergelar juara dunia.

Selepas menang semua enam perlawanan dalam Kumpulan C setakat ini, kemenangan di Eden Arena, Prague akan meletakkan Jerman semakin hampir untuk ke Russia 2018 sebelum melayan kunjungan Norway di Stuttgart, Selasa nanti.

Pemain sayap, Serge Gnabry tidak dapat beraksi akibat kecederaan buku lali manakala pemain tengah Juventus, Sami Khedira berdepan masalah lutut.

Penyokong setia Jerman sedar bahawa kekalahan terbesar mereka di peringkat kelayakan hanya berlaku 10 tahun lalu di Prague apabila skuad kendalian Loew itu tumbang 0-3.

Begitupun, mereka sudah menebus kekalahan itu dengan mengalahkan Republik Czech menerusi jumlah jaringan sama di Hamburg, Oktober lalu dan dua daripada gol itu disumbangkan Thomas Mueller.

“Kami amat mengenali corak permainan Czechs. Mereka gemar bermula dengan pantas, tetapi kami mampu mengekangnya dan menjaringkan dua gol di babak kedua,” kata pertahanan kiri Jerman, Jonas Hector.

“Kami menang semua empat perlawanan kelayakan setakat ini dan kami mahu meneruskan rekod itu.”

Perebutan untuk merebut tempat semakin sengit apabila Loew memanggil 17 pemain yang berada dalam skuad Piala Konfederasi, Julai lalu dan hanya menamakan tujuh pemain Piala Dunia.

“Kami memperoleh apa yang kami mahukan di Piala Konfederasi. Kami berpeluang untuk meluaskan lagi pasukan kami dan memberi rehat kepada beberapa yang lain,” kata pengurus, Oliver Bierhoff.

“Adalah penting untuk memberikan rehat kepada pemain seperti Toni Kroos atau Sami Khedira. Mereka masih lagi tonggak pasukan dan mampu memberikan kami kekuatan tambahan.”

Pemain Piala Dunia seperti Thomas Mueller, Kroos, Mats Hummels, Mesut Ozil dan Khedira dijangka kembali bermain selepas tidak beraksi di Piala Konfederasi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2017 @ 11:22 AM