Zaidatul (kanan) ketika aksi 200m akhir wanita di Sukan SEA 2017.
Mohd Khairie Khalid


Kuala Lumpur: Jurulatih negara, M Balamurugan berpuas hati dengan prestasi keseluruhan dilakar pasukan olahraga termasuk anak didiknya di Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur.

Katanya pencapaian lapan emas melebihi sasaran iaitu enam emas, sekali gus membuktikan sukan ini mempunyai masa depan cerah dengan adanya barisan atlet muda.

Jelasnya, kejayaan Zaidatul Husniah Zulkifli memenangi perak acara pecut 100m (11.74 saat) turut menamatkan penantian 20 tahun untuk pelari negara menaiki podium selepas G Shanti meraih emas di Sukan SEA 1997 Jakarta.

Zaidatul Husniah turut memenangi perak dalam acara 200m (23.64s).

Pencapaian anak didik Balamurugan sesuatu yang membanggakan apabila G Aravinn Thevarr mencipta kejutan selepas memenangi gangsa acara 200m lelaki (21.26s),
menewaskan raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan yang berlari dalam kecederaan.

Jonathan Nyepa juga membuktikan dirinya mampu membantu kuartet 4x100m lelaki apabila gandingannya bersama Badrul Hisyam Abdul Manap, Nixson Kennedy dan Muhammad Haiqal Hanafi memecahkan rekod kebangsaan (39.27s) meskipun tidak memenangi pingat.

“Sebagai seorang jurulatih, saya berpuas hati dengan prestasi atlet secara keseluruhan.

“Saya juga berharap kuartet 4x100m lelaki dikekalkan kerana mereka masih muda,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2017 @ 3:31 AM