BERAM (kanan) dari Filipina berjaya memenangi pingat emas 200m lelaki.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pelari pecut negara Khairul Hafiz Jantan menamatkan penantian 16 tahun negara untuk bergelar raja pecut Asia Tenggara dan temasya Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur (KL2017) memberikan pengajaran berharga buat atlet berusia 19 tahun itu.

Jurulatihnya Mohd Poad Md Kassim berkata, temasya dwitahunan berkenaan memberi pengalaman baru buat atlet muda itu selepas hanya dapat melihat rakannya berlari dalam acara 4x100 meter.

“Pada mulanya saya nasihatkan Khairul untuk menarik diri daripada acara 200m kerana kecederaannya dan sebaliknya memberi tumpuan kepada 4x100m. Tapi dia menolak dan tetap mahu beraksi dalam acara 200m.

“Tak mengapa, saya percaya dia sudah pelajari sesuatu daripada tindakannya itu dan tahu apa yang perlu dilakukan pada masa depan. Tambahan pula dia masih muda,” katanya.

Khairul menamatkan aksi acara 200m di tempat keempat dalam perlumbaan yang dikuasai atlet Filipina Trenten Anthony Beram. Beram yang berketurunan Filipina-Amerika Syarikat itu melakukan catatan 20.84 saat manakala Jirapong Meenapra dari Thailand perak (21.22s) dan pelari negara G Aravinn Thevarr Gunasegaran gangsa (21.26s).

Secara keseluruhannya, Poad berpuas hati dengan pencapaian barisan pelari yang dibimbingnya.

Biarpun kuartet negara gagal menyumbangkan pingat, kejayaan meleburkan rekod kebangsaan dengan catatan 39.27s dilakukan Muhammad Haiqal Hanafi, Jonathan Nyepa, Badrul Hisham Abdul Manap dan Nixson Kennedy berjaya mengatasi rekod lama kebangsaan (39.62s).

Rekod lama dilakukan Muhammad Haiqal, Badrul Hisham, Jonathan Nyepa dan Khairul Hafiz ketika saingan Terbuka Vietnam, 27 Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2017 @ 3:32 AM