KANE (kanan) mengasak pintu gol Malta.
AFP

Valletta: Harry Kane meledak dua gol bagi membantu skuad England kendalian Gareth Southgate menang 4-0 ke atas pasukan kerdil, Malta pada kempen kelayakan Piala Dunia.

Kane membuka jaringan ada awal babak kedua tetapi tiga gol yang dihasilkan sepanjang 10 minit terakhir memberi gambaran bahawa England bermain baik sedangkan pada hakikatnya, anak buah Southgate agak pincang.

Jaringan Ryan Bertrand, Danny Welbeck dan Kane memastikan England terus mengumpul mata di Malta sekali gus membolehkan mereka kekal di tangga teratas Kumpulan F menerusi kelebihan dua mata berbanding Slovakia.

Tetapi England yang dibarisi pemain bergaji jauh lebih mahal berbanding apa yang diterima pemain Malta, perlu mempamer aksi lebih baik apabila melayan kunjungan Slovakia di tempat sendiri minggu depan.

Kane bagaimanapun berkata, peminat wajar melihat kepada kekuatan Malta dan ini adalah kali pertama sepanjang tiga pertemuan menyaksikan England mengalahkan lawannya itu dengan lebih daripada satu gol.

“Bukan mudah untuk anda mengharungi perlawanan seperti ini,” katanya.

“Kami cuba sedaya upaya untuk memecahkan benteng pertahanan lawan. Mereka bermain secara bertahan. Kami hanya berusaha dan sedar sekiranya kami terus menguasai bola, ruang untuk menjaringkan gol pasti terbuka.”

England yang menang buat kali kedua sepanjang enam perlawanan terakhir dan kemenangan di tempat lawan yang pertama buat Southgate, sepatutnya mendahului 2-0 pada lima minit pertama permainan.

Raheem Sterling sepatutnya mampu menjaringkan gol selepas menerima hantaran Kane tetapi bintang Manchester City itu melakukan kesilapan hingga membolehkan penjaga gol lawan, Andrew Hogg menangkap bola.

Hogg terpaksa berhempas pulas menyelamatkan beberapa percubaan pemain England termasuklah Kane dan Dele Alli.

Persembahan hambar pemain England sepanjang babak pertama mengakibatkan mereka diejek penyokong sendiri sebaik pengadil menamatkan aksi 45 minit pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2017 @ 2:26 AM