LOH Jack Chang (kiri) dan Nurul Hidayah Abdul Karim. FOTO Arkib NSTPZULFADHLI ZULKIFLI
BERNAMA

PEMENANG dua pingat emas dalam acara wushu pada Sukan SEA bulan lalu, Loh Jack Chang dan jaguh acara taekwondo negara Nurul Hidayah Abdul Karim masing-masing dianugerahkan Olahragawan dan Olahragawati Terbaik Sarawak bagi 2015/2016.

Loh mengetepikan dua calon lain, iaitu jaguh renang negara Welson Sim Wee Sheng dan jaguh taekwondo Augustine Rudy Grocer untuk merangkul hadiah wang tunai RM5,000, piala dan sijil kemenangan.

Nurul Hidayah pula mengetepikan tiga pencabarnya, iaitu ratu terjun negara Pandelela Rinong Pamg, perenang negara Erika Kong Chia Chia dan Angela Chieng Chui Fei untuk pulang dengan hadiah wang tunai RM5,000, piala dan sijil.

Anugerah Olahragawan OKU pula dimenangi perenang Jamery Anak Siga yang pulang dengan hadiah wang tunai RM3,000, piala dan sijil apabila mengalahkan pencabarnya Jong Yee Khie, atlet angkat berat.

Nur Atirah Voon Abdullah dipilih sebagai Olahragawati OKU, mengalahkan atlet angkat berat Sona Anak Agam.

Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Harapan masing-masing diungguli atlet angkat berat Jerry Anak Gawan dan pemain ping pong remaja negara Alice Chang Li Sian, yang pulang dengan hadiah wang tunai RM3,000, piala dan sijil.

Anugerah Pasukan Lelaki Terbaik dan Pasukan Wanita Terbaik masing-masing dimenangi pasukan tenpin boling lelaki dan wanita Sarawak.

Persatuan Tenpin Boling Sarawak pula mengetepikan Persatuan Sukan dan Rekreasi OKU Sarawak untuk merangkul anugerah Persatuan Sukan Terbaik.

Jurulatih pasukan tenpin boling Jackson Ting Nik Soon dipilih sebagai Jurulatih Terbaik, jurulatih olahraga Matthew Chin Hiong Choi (Jurulatih Sukan Paralimpik Terbaik) dan Pengurus Tenpin Boling Sarawak Sunny Sii Poh Heng menjadi penerima Kepimpinan Sukan Terbaik.

Anugerah Khas turut disampaikan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani sebagai menghargai sumbangan dan kepimpinan cemerlang beliau dalam menjayakan penganjuran Sukan Malaysia 2015.

Hadiah disampaikan Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak Snowdan Lawan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2017 @ 11:48 AM