SKUAD ragbi negara muncul pemenang pingat emas Sukan SEA buat kali pertama.
SKUAD ragbi negara muncul pemenang pingat emas Sukan SEA buat kali pertama.

Kuala Lumpur: Selepas melakar sejarah kali pertama meraih emas Sukan SEA, skuad ragbi tujuh sebelah negara kini mahu memastikan tiket ke Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) memberikan tempoh rehat yang mencukupi bagi mencapai matlamat itu selepas menjalani latihan pusat dan pelbagai kejohanan sejak tahun lalu.

“Kami kini menyertai siri pertama Asia 7s di Hong Kong namun memutuskan untuk memberikan rehat kepada pemain kerana sudah setahun menjalani latihan pusat dan menyertai kejohanan.

“Jadi kami menghantar skuad pembangunan ke Hong Kong bagi pendedahan,” jelas Presiden KRM Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Berbaki tujuh bulan sebelum Sukan Komanwel, skuad Sukan SEA akan menyertai siri kedua dan ketiga Asia 7s pada 23-24 September serta 13-14 Oktober.

“Kami berharap layak ke Sukan Komanwel pada April depan. Kami turut berharap Majlis Sukan Negara (MSN) akan bersetuju memulakan projek baru bagi mempersiapkan pasukan untuk Sukan Komanwel dan Asia pada Ogos 2018,” jelasnya.

Susulan keputusan skuad lelaki, KRM memutuskan untuk mengekalkan pasukan pengurusan termasuk pengurus Amir Amri Mohamad dan ketua jurulatih Mohd Saizul Hafifi Md Noor.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2017 @ 11:41 AM