MBAPPE (kiri) cuba perjelaskan isu perpindahannya ke PSG kepada penyokong Monaco. -Foto AFP
AFP

PARIS: Bintang sedang meningkat Kylian Mbappe cuba menjelaskan perpindahan lumayannya ke Paris Saint-Germain dari AS Monaco semalam selepas menerima kecaman teruk daripada penyokong setia Monaco.

Pemain berusia 18 tahun itu menyertai PSG secara pinjaman semusim dengan pilihan untuk membelinya sekali gus menjadikannya pemain kedua paling mahal sepanjang zaman dengan bayaran yang boleh mencecah 180 juta euro (RM914 juta).

Sebelum perpindahan itu, ‘Ultras’ Monaco mengkritik hebat Mbappe kerana sikap dan permintaan gajinya yang tersebar meluas dalam media Perancis.

“Saya sedar sesetengah anda tidak faham dengan pilihan saya dan anda marah jadi saya faham mengenainya,” tulis Mbappe dalam satu kenyataan penuh emosi di Twitter.

Pemain kebangsaan Perancis itu diejek dan dicemuh peminatnya sendiri apabila dia duduk di bangku simpanan ketika juara Ligue 1, Monaco membelasah Marseille 6-1, perlawanan terakhir mereka sebelum Mbappe berpindah ke kelab pencabar kejuaraan PSG.

“Saya juga faham dengan sesetengah ejekan yang saya terima ketika kita bertemu kali terakhir,” ujarnya.

“Kerana maklumat yang tidak tepat tersebar mengenai ‘wayang Mbappe’. Tapi saya masih belum berubah dan nilai-nilai saya tetap sama; rendah hati, sangat mudah dan hormat.

“Anda boleh marah, benci atau mengejek saya tapi anda tidak boleh menghalang saya daripada menyayangi anda kerana hakikatnya saya sayangkan kalian.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2017 @ 12:53 PM