Bibi Ramjani mahu rebut jawatan Presiden KAFA. FOTO IHSAN BIBI RAMJANI ILLIAS
Attirmidzie Rahman


SELEPAS pengasas Vida Beauty, Datuk Seri Hasmiza Othman atau dikenali Datuk Seri Vida, kini seorang lagi usawahan wanita Kelantan berminat menerajui Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA).

Bibi Ramjani Ilias Khan selaku pengasas Desa Murni Batik Kota Bharu menyatakan kesediaan merebut jawatan Presiden KAFA dalam pemilihan akan datang.

Wanita itu pada mulanya sekadar mahu meneruskan kelangsungan tajaan ke atas The Red Warriors (TRW) namun menerima maklum balas daripada pelbagai pihak yang memintanya membantu dan melakukan perubahan ke atas KAFA.

Katanya, beliau juga tidak berhajat untuk mengenakan sebarang syarat menjadi Presiden KAFA termasuk tidak akan menjadikan pasukan TRW sebagai platform meluaskan perniagaannya.

"Saya banyak bergaul dengan orang ramai termasuk penyokong bola sepak Kelantan dan mereka meminta melakukan perubahan.

"Saya menyambut hasrat itu dan mahu menaja pasukan terbabit. Namun apabila saya fikirkan semula, jika betul niat mahu membaik pulih pasukan, lebih baik lakukan perubahan terhadap pasukan dan persatuan.

"Daripada situ, saya rasa lebih baik saya tawarkan diri untuk bertanding sebagai Presiden," katanya, hari ini.

Mengulas lanjut, Bibi Ramjani yang juga anak jati Kok Lanas berkata, perkara pertama yang akan dilakukan jika dipilih sebagai Presiden KAFA ialah memastikan kewangan persatuan stabil termasuk menyelesaikan hutang.

Katanya, KAFA di bawah kepemimpinan yang sedia ada, sudah melakukan yang terbaik untuk mengurus pasukan dan masalah yang timbul sebelum ini disebabkan kekurangan dana.

Sebelum ini, Setiausaha Agung KAFA, Datuk Ismail Md Noor membuat tawaran terbuka kepada mana-mana individu untuk memimpin KAFA pada Kongres Agung Tahunan Kali ke-43 pada 16 September ini.

Datuk Seri Vida sebelum ini menjadi penaja utama KAFA bagi Liga Malaysia 2016, membabitkan tajaan berjumlah RM16 juta.

Beliau bagaimanapun menangguhkan tajaan dan menarik diri apabila memasuki musim ini yang secara tidak langsung menyebabkan kantung KAFA bertambah kering.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2017 @ 9:14 PM