MISBUN Sidek (kiri) dan Lee Chong Wei.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara Datuk Misbun Sidek meminta semua pihak supaya memberikan masa dan ruang kepadanya untuk menggilap kembali barisan pemain perseorangan negara terutama Datuk Lee Chong Wei.

Jelas Misbun, dengan kehadirannya yang sangat baru di Persatuan Badminton Malaysia (BAM), tidak banyak dapat dapat dilakukannya untuk menurunkan ilmu terutama kepada Chong Wei di Kejohanan Dunia Glasgow, Scotland, bulan lalu.

Chong Wei tersingkir seawal pusingan pertama di tangan pemain Perancis Brice Leverdez pada kejohanan berprestij itu.

“Beri saya sedikit masa untuk melakukan persiapan ke atas pemain kita. Jika latihan kita kuat, pemain dari negara lain juga melakukan perkara sama.

“Jika setiap pemain terbuka hendak belajar, saya yakin keputusan akan memihak kepada kita,” katanya ketika ditemui selepas tamat sesi latihan semalam.

Mengulas lanjut prestasi Chong Wei di Kejohanan Dunia, Misbun berkata, apa yang berlaku kepada jaguh perseorangan negara itu sebenarnya bukan soal permainannya.

“Dia cuma keliru sebab sudah lebih kurang enam tahun saya tak bersama dengannya dan sepanjang tempoh itu banyak jurulatih bersilih ganti melatihnya.

“Dalam tempoh lima minggu, saya hanya dapat beri sedikit bantuan daripada perspektif yang perlu dia berwaspada.

“Chong Wei keliru terutama membabitkan tips ketika beraksi. Bagaimanapun saya tak salahkan dia,” katanya.

Misbun berkata, beliau akan terus membantu Chong Wei di kejohanan akan datang dengan menerapkan latihan bersesuaian dengan usia Chong Wei.

“Sekarang ini dia sering menjadi sasaran utama dan pemain lain sudah tidak takut dengannya.

“Umurnya sudah meningkat dan ada perubahan membabitkan kepantasan dan serangan. Chong Wei sudah sedar mengenai perkara ini dan kita akan perbaiki daripada semasa ke semasa,” katanya.

Misbun melaporkan diri sebagai ketua jurulatih perseorangan lelaki awal Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2017 @ 3:59 AM