SALAH (kanan) jaring gol tunggal perlawanan. -Foto EPA

AFP

JOHANNESBURG: Pasukan gergasi Afrika, Mesir melangkah setapak lagi bagi penampilan pertama pada Piala Dunia sejak 1990 apabila mereka menumpaskan Uganda 1-0 awal pagi tadi menerusi gol awal penyerang Liverpool, Mohamed Salah.

Penonton yang hampir memenuhi kapasiti 85,000 Stadium Borg El Arab di Iskandariah berteriak girang apabila pemain yang berpindah dari AS Roma Jun lalu meledak selepas hanya enam minit dalam aksi Kumpulan E.

Salah menyelinap masuk melepasi benteng pertahanan dan selepas penjaga gol Denis Onyango menampan percubaan pertamanya, dia menolak masuk bola muntah yang menentukan pemenang antara dua pasukan teratas kumpulan itu.

Ia gol pertama dilepaskan Uganda dalam 456 minit aksi kelayakan Piala Dunia Russia 2018 selepas lima perlawanan tanpa dibolosi.

Pharaohs melayan kunjungan pasukan tercorot Congo Brazzaville bulan depan sebelum bertandang ke pasukan tangga ketiga Ghana November ini dan dua kemenangan akan memastikan mereka layak.

Pemain tengah Atletico Madrid, Thomas Partey meledak hatrik ketika Ghana menghidupkan peluang tipis layak ke Piala Dunia kali keempat berturut-turut apabila membelasah Congo 5-1 di Brazzaville.

Mesir mengumpul sembilan mata selepas empat perlawanan, Uganda tujuh, Ghana lima dan Congo satu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2017 @ 12:33 PM