PAN Gon kecewa dengan keputusan seri ketika menentang Malaysia. -Foto Rasul Azli
PAN Gon kecewa dengan keputusan seri ketika menentang Malaysia. -Foto Rasul Azli
Nazri Abu Bakar


MELAKA: Jurulatih Hong Kong, Kim Pan Gon menegaskan beliau tidak berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 menentang Malaysia pada aksi kelayakan Piala Asia di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Pengendali berasal dari Korea Selatan itu bagaimanapun gembira dengan kesungguhan pemain untuk mencari gol pada hujung saingan sekalipun mereka gagal menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan.

“Apapun saya amat menghargai usaha pemain saya yang 100 peratus menunjukkan persembahan melawan, berusaha mencari gol dan cuba mengelak keputusan seri selepas mendahului dan terikat 1-1 pada minit-minit akhir,” katanya.

Penyerang Hong Kong, Sandro membuka tirai jaringan selepas 52 minit pada aksi Kumpulan B itu namun tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi Syazwan Zainon tiga minit kemudian.

Selepas Malaysia beraksi sembilan pemain dalam tempoh singkat apabila Rizal Ghazali dan Aidil Zafuan Radzak dibuang padang kerana masing-masing dilayangkan kad kuning kedua, penjaga gol Malaysia, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy menafikan Hong Kong kemenangan apabila dia menyelamatkan sepakan penalti Sandro pada minit ketiga masa kecederaan.

Pan Gon juga memohon maaf kepada penyokongnya kerana gagal membawa pulang tiga mata selepas mendahului namun yakin, aksi lebih baik mampu dipamerkan pasukan itu selepas ini.

Selepas tiga perlawanan, Hong Kong kekal di tangga ketiga Kumpulan B dengan dua mata hasil dua keputusan seri (1-1 dengan Korea Utara dan 1-1 menentang Malaysia) selain tumpas 0-2 kepada Lubnan pada aksi pertama mereka.

Hong Kong akan melayan kunjungan Malaysia di Stadium Hong Kong pada 10 Oktober depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2017 @ 2:08 PM