MBAPPE ketika diperkenalkan sebagai pemain PSG. -Foto EPA
AFP

LONDON: Penyerang Paris Saint-Germain, Kylian Mbappe mendedahkan dia menolak tawaran pengurus Arsenal, Arsene Wenger dan memilih untuk berhijrah ke kelab gergasi Perancis itu.

Mbappe bercakap dengan Wenger mengenai kemungkinan meninggalkan AS Monaco untuk menyertai Gunners, namun menegaskan dia mengambil keputusan kembali ke ibu kota Perancis itu.

Penyerang kebangsaan Perancis berusia 18 tahun itu membesar di Paris, bermain buat Monaco sebelum menyertai PSG secara pinjaman minggu lalu, dengan pilihan perpindahan tetap tahun depan menerusi yuran perpindahan dilaporkan £166 juta (RM917 juta).

Mbappe mendedahkan minat Arsenal terhadapnya dengan memberitahu Daily Telegraph: “Benar, saya bertemu Arsene Wenger, yang juga seorang jurulatih hebat.

“Beliau memiliki reputasi hebat di Perancis, beliau amat dihormati dan tahu bagaimana membangunkan pemain muda. Ini pilihan yang bagus buat saya. Tapi sudah tentu, Paris St-Germain adalah pilihan utama.”

Mbappe memilih untuk bekerjasama dengan jurulatih PSG, Unai Emery di bahagian depan yang turut menampilkan pemain dengan rekod dunia £200 juta (RM1.1 bilion) Neymar, yang melengkapkan perpindahan hebat dari Barcelona bulan lalu.

“Kami memikirkan kelebihan dan kekurangan setiap kelab tapi keluarga saya meminta saya membuat keputusan sendiri, jadi saya perlu melakukannya,” ujar Mbappe.

“Ia juga satu keputusan bagi jangka masa panjang. Jadi ia terpulang kepada saya dan saya memutuskan untuk datang ke sini dan terus meningkat.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2017 @ 9:43 AM