(DARI KIRI) Nasir, Bibi Ramjani, Amir dan Hasmiza empat calon-calon yang sedia bertanding jawatan Presiden KAFA. -Foto HM
Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

“ASALKAN benar-benar ikhlas, kita sedia berikan kerjasama,” kata Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa mengulas mengenai calon yang menawar diri untuk bertanding dalam Kongres Agung Tahunan Ke-63 persatuan itu, 17 September ini, terutama kerusi Presiden.

Katanya, beliau sendiri mahupun kepimpinan KAFA yang lain tidak mempunyai masalah untuk membantu mana-mana calon yang terpilih menjadi Presiden nanti.

Namun, harapannya supaya individu yang dilantik mampu melakukan pembaharuan dan ikhlas bekerja untuk menaikkan kembali nama pasukan Kelantan.

“Syukur kerana ramai (menawarkan diri) bertanding merebut jawatan Presiden KAFA, Timbalan dan lain-lain. Ini satu perkembangan yang baik.

“Saya mendoakan kebaikan buat mereka (calon) dan bolasepak Kelantan.

“Saya harap masing-masing sudah membuat ‘homework’ dan memahami skop tugas serta cabaran yang bakal dipikul (lebih-lebih lagi Presiden),” katanya dalam entri terbaru Facebook dimuat naik, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati kepimpinan KAFA yang sekadar menumpang dalam EXCO supaya menarik diri dan memberi laluan kepada pelabur serta penaja.

“Diharapkan mereka yang sekadar menumpang tidak perlulah berada dalam EXCO KAFA dan The Red Warriors (TRW) disyaratkan menjadi entiti komersial oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Elok tempat dalam EXCO diberi keutamaan kepada penaja dan pelabur,” katanya.

Setakat ini, empat individu menawarkan diri bertanding kerusi Presiden KAFA termasuk Naib Presiden KAFA, Datuk Nasir Hamzah; usahawan wanita, Bibi Ramjani Ilias Khan; pemilik syarikat Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman; Presiden Kumpulan SecretLeaf International Sdn Bhd, Amir Ramadzan.

Calon boleh menghantar pencalonan sehingga tarikh akhir pada 16 September.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2017 @ 1:04 PM