PENYERANG Johor DT, Mohamad Ghaddar (kiri) bersama rakan sepasukan meraikan jaringan ketika bertemu Selangor di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.
Rizar Mohd Noor


JURULATIH Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Ulisses Morais tidak menolak betapa benteng pertahanan pasukan itu agak longgar selepas ketiadaan Marcos Antonio yang mengalami kecederaan dan harus diperkemaskan menjelang suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Melaka United di Stadium Hang Jebat, Jumaat ini.


MORAIS (kanan) mahu perkemaskan lagi benteng Johor DT walaupun ketiadaan Antonio.

Morais berkata, walaupun Johor DT menang selesa 3-1 ke atas Selangor pada aksi terakhir Kumpulan D Piala Malaysia dan mengungguli kumpulan itu pada aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi namun benteng pertahanan diterajui Junior Eldstal dan Fadhli Shas harus mantap bagi mengelak gawang dibolosi.

Katanya, kelemahan benteng pertahanan tidak begitu ketara dan ketiadaan Antonio juga tidak menjejaskan perancangan tetapi pemain yang beraksi di posisi itu harus lebih fokus dan tenang dalam situasi tertekan.

“Sepanjang saingan Liga Super musim lalu, Johor DT mempertaruhkan Antonio mengemudi benteng pertahanan tapi ketika aksi di penghujung kami tidak dapat menggunakan khidmat pemain itu dan pemain lain yang diberi peluang menggantikan tempat Antonio harus bersedia.

“Apapun, saya anggap ia masalah kecil dan boleh diatasi dan sebagai jurulatih menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan perancangan terbaik bagi mengukuhkan benteng pertahanan.

“Saya percaya dengan pemain saya kerana mereka pemain profesional yang bersedia menggalas tugas untuk beraksi di posisi benteng, tengah mahupun selaku penyerang kerana sikap positif yang ada pada setiap pemain memudahkan tugas saya,” katanya.

Pada aksi itu, skuad Harimau Selatan berjaya mencipta jaringan menerusi Mohammed Ghaddar pada minit ke-16 namun kelonggaran benteng pertahanan memudahkan Selangor bangkit menyamakan kedudukan hasil tandukan Rufino Segovia pada minit ke-27 sebelum Gary Steven Robbat menjaringkan gol kedua Johor DT pada minit ke-29 diikuti jaringan Ghaddar pada minit ke-75 bagi mengesahkan kemenangan Johor DT.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2017 @ 2:24 PM