KANE (kanan) jaring gol ketiga Spurs.
AFP

LIVERPOOL, England: Mauricio Pochettino menyanjung penyerang Tottenham, Harry Kane yang menyumbat gol ke-100 buat kelabnya ketika menang bergaya 3-0 ke atas Everton.

Kane meledak dua gol di Goodison Park malam tadi, mengakhiri permulaan tidak produktif musim domestik yang mana Kane meneruskan rekod tidak pernah menjaringkan gol Liga Perdana pada bulan Ogos.

Pemain kebangsaan England itu kembali berada dalam senarai penjaring dengan dua gol buat negaranya di Malta pada 1 September lalu dan dengan keyakinannya kembali, dia pantas mempamerkan prestasi yang menyaksikannya memenangi anugerah kasut bola emas Liga Perdana bagi dua musim terakhir.


PEMAIN Spurs meraikan kemenangan selepas membenam Everton.

Kali ini bagaimanapun Kane agak bertuah dengan gol pertamanya apabila hantaran lintangnya melepasi jangkauan penjaga gol Everton, Jordan Pickford pada babak pertama.

“Ia tidak penting,” ujar Pochettino. “Hantaran silang atau percubaan, ia tetap gol.

“Saya gembira kerana dia sudah menjaringkan 100 gol buat Tottenham dan dia berhak menerima banyak hadiah dan penghargaan kerananya. Ia satu pencapaian menakjubkan buatnya.”

Kane sendiri mengakui dia tidak berhasrat melakukan percubaan bagi gol pertamanya itu namun pada saat penting yang menyaksikan Spurs memulakan kempen Liga Juara-Juara menentang Borussia Dortmund awal pagi Khamis ini, dia gembira dengan momentum diraih menerusi kemenangan itu.

“Tidak, saya tidak (bermaksud menjaringkan gol),” kata Kane. “Saya bernasib baik tapi kadang kala anda memerlukannya.

“Ia fantastik. Ia beberapa tahun yang menyeronokkan dan untuk mendapat gol ke-100 amat mengagumkan. Harapnya saya boleh menambah banyak lagi.

“Kami mahu hadir ke sini dan meraih keputusan baik. Kami memerlukan momentum ini menjelang Liga Juara-Juara minggu depan.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2017 @ 2:56 PM