OBIANG (kanan) jaring gol pertama peribadi musim ini.
AFP

LONDON: Pedro Obiang dan Andre Ayew menjaringkan gol bagi memberikan pengurus West Ham United, Slaven Bilic hadiah hari jadi ke-49 terbaik apabila Hammers membenam Huddersfield Town 2-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

Obiang meledak gol pembukaan menerusi percubaan yang terbias dan Bilic kemudian menumbuk ke udara penuh kelegaan apabila bintang Ghana, Ayew merembat masuk gol kedua sekali gus membantu West Ham meraih mata pertama musim ini.


GOL kedua hasil jaringan Ayew (tiga dari kanan) kukuhkan cengkaman Hammers.

DE Boer dipecat pengurusan Palace selepas bolos dan tewas sepanjang empat perlawanan.

Kekalahan kepada Huddersfield mampu meletakkan pengendali dari Croatia itu dalam bahaya menjadi pengurus kedua disingkirkan musim ini selepas Frank de Boer dipecat oleh Crystal Palace semalam.

“Kami bermula dengan tiga perlawanan di laman lawan (mereka tidak boleh bermain di laman sendiri hingga Stadium London dibaik pulih selepas Kejohanan Olahraga Dunia) dan tiga kekalahan dan perlawanan ini mesti menang,” kata Bilic.

“Saya berasa tekanan sepanjang tahun. Mungkin tidak logik bagi saya tertekan selepas tiga perlawanan tapi inilah bola sepak moden. Hari ini hari ulang tahun kelahiran saya jadi ini hadiah hebat buat saya.”

Bagi Huddersfield ia kekalahan pertama mereka - dan gol pertama dibolosi mereka - selepas satu permulaan memberangsangkan dalam kalangan kelab elit.


BILIC lega Hammers raih kemenangan pertama selepas tiga kekalahan.

Tuan rumah berhak mendahului 18 minit sebelum tamat menerusi tuah yang tidak menyebelahi mereka dalam tiga aksi terdahulu.

Percubaan Obiang dilihat menuju keluar namun tertampan masuk oleh Mathias Jorgensen sekali gus mengelirukan penjaga gol Jonas Loessl.

Namun tiada tuah terbabit bagi gol kedua apabila Ayew, yang hadir sebagai pemain gantian, mengambil kesempatan berikutan kegagalan pertahanan Huddersfield mengeluarkan bola dari kawasan bahaya selepas sepakan sudut sebelum merembat masuk lima minit kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2017 @ 9:53 AM