MANE (kanan) digantung tiga perlawanan selepas menyepak kepala Ederson.
AFP

LIVERPOOL, England: Pengurus Liverpool, Juergen Klopp menyatakan beliau sedar rayuan kelab itu untuk mengurangkan penggantungan tiga perlawanan Sadio Mane “hanya membuang masa.”

Pemain sayap Senegal itu dilayangkan terus kad merah ketika Liverpool tumpas 0-5 kepada Manchester City di gelanggang lawan dalam aksi Liga Perdana Inggeris Sabtu lalu selepas dia dipersalahkan menyepak muka penjaga gol Ederson dengan butnya.

Rayuan Liverpool untuk mengurangkan penggantungan tiga perlawanan ditolak suruhanjaya disiplin Persatuan Bolasepak (FA) semalam.


KLOPP (kiri) anggap rayuan kurangkan hukuman Mane sia-sia.

Mane, 25, kini akan digantung bagi perlawanan Liga Perdana menentang Burnley dan dua aksi liga serta Piala Liga menentang Leicester City.

Bagaimanapun, Mane boleh diturunkan bagi perlawanan pembukaan Liverpool dalam Liga Juara-Juara menentang Sevilla di Anfield awal pagi esok dan Klopp, bercakap menjelang perlawanan dengan kelab Sepanyol itu, sedar rayuan bagi pihak Mane akan berakhir dengan kegagalan.

“Saya tidak jangkakan sesuatu yang berbeza,” kata Klopp. “Memang menjadi tugas kami untuk membuat rayuan. Tapi ia sebenarnya membuang masa saja.

“Rayuan kami tepat kerana kami patut merayu terhadap kad merah tapi tidak melakukannya.

“Kami hanya merayu tempoh penggantungan. Saya tidak pernah memikirkan ia akan berlaku tapi kerana saya sudah biasa dengan perkara sebegini. Ada banyak situasi yang sama.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2017 @ 2:24 PM