CECH mahu Arsenal bersemangat buru kejuaraan Liga Europa.
AFP

LONDON: Kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Arsenal memulakan kempen Liga Europa minggu ini, terperosok ke pertandingan kelas dua benua itu selepas hampir dua dekad dalam Liga Juara-Juara ketika AC Milan turut menyuntik kualiti bintang.

Anak buah Arsene Wenger, di tangga kelima Liga Perdana musim lalu - kali pertama mereka tidak berada dalam kelompok empat teratas sejak 1995-96 - berdepan kelab Jerman, Cologne di Stadium Emirates, awal pagi Jumaat ini.

Bos Arsenal itu menyatakan pasukannya akan tetap mengambil serius pertandingan itu di sebalik kekecewaan gagal le Liga Juara-Juara selepas beraksi 19 musim berturut-turut dalam pertandingan utama Eropah itu.

“Kami tetap serius tapi keutamaannya adalah fokus terhadap Liga Perdana dan menggabungkan kedua-duanya,” katanya.


BONUCCI (dua dari kiri) gesa rakan sepasukan satu hati bermain Liga Europa.

“Kemudian pada Disember kami akan lihat, tapi sekurang-kurangnya kami mahu layak ke pusingan berikutnya dulu. Pagi Khamis atau Ahad masa agak singkat jadi saya perlu memikirkan mengenainya. Tapi kami perlu menang di laman sendiri dan anda tahu bagaimana apabila anda tidak menang di gelanggang sendiri.”

Penjaga gol Arsenal, Petr Cech, yang memenangi Liga Europa 2012-13 bersama Chelsea menyatakan pertandingan itu tetap berbaloi untuk dimenangi.

“Kami memutuskan ia kali pertama dan harapnya kali terahir kami bermain dalam Liga Europa dan kami mahu memenanginya,” katanya.

Pencabar domestik Arsenal, Manchester United memenangi trofi itu tahun lalu sekali gus memberikan mereka tiket ke Liga Juara-Juara tahun ini.

Wenger, kelabnya Arsenal tewas pada perlawanan terakhir dalam pertandingan itu di tangan Galatasaray pada final 2000 apabila ia dikenali sebagai Piala UEFA, dijangka menggilirkan skuadnya, memberikan beberapa pemain pelapis peluang beraksi ketika beliau menangani Kumpulan H yang agak merumitkan termasuk Red Star Belgrade dan kelab Belarus, BATE Borisov.


ROONEY (kanan) ketuai cabaran Everton.

Juara Eropah tujuh kali, AC Milan mempunyai tugas lebih mudah dengan aksi menentang Austria Vienna, AEK Athens dan Rijeka dari Croatia dalam Kumpulan D ketika mereka kembali ke pertandingan Eropah buat kali pertama sejak 2013-14.

Kelab Itali itu, mengintai satu-satunya trofi utama Eropah yang belum mereka menangi setakat ini, jelas dalam laluan kebangkitan di bawah pemilikan syarikat gergasi China selepas beberapa tahun yang malap.

Selepas tumpas 1-4 kepada Lazio dalam aksi Serie A hujung minggu lalu, mereka membuka kempen peringkat kumpulan di Austria Vienna sesudah melepasi dua pusingan kelayakan.

“Kami skuad baru. Menjadi tanggungjawab saya dan salah seorang bos dan pengurusan untuk mengetuai kejayaan kelompok pemain ini,” kata kapten Leonardo Bonucci, yang menyertai kelab itu dari Juventus hujung musim lalu.

“Kami perlu bersatu hati apabila bermain dalam Liga Europa,” katanya. “Ramai dalam kalangan pemain pasukan ini tidak pernah beraksi dalam pertandingan ini sebelum ini.”

Everton dikemudi Wayne Rooney berdepan ujian getir dalam Kumpulan E yang turut dihuni kelab Perancis, Lyon, dengan Stadium Groupama milik mereka akan menjadi hos final pada 16 Mei tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2017 @ 2:38 PM