LUIZ (tengah) antara pemain direhatkan untuk berdepan Arsenal.
AFP

LONDON: Antonio Conte percaya keputusannya merehatkan beberapa bintang Chelsea bagi aksi Liga Juara-Juara menentang Qarabag pasti berbaloi apabila Blues berdepan Arsenal, Ahad ini.

Conte mengetepikan David Luiz, Antonio Rudiger, Victor Moses dan Alvaro Morata ketika menang besar 6-0 ke atas kelab kerdil Azerbaijan itu di Stamford Bridge, awal pagi tadi.


MOSES (dari kiri), Rudiger dan Morata turut diketepikan ketika Chelsea menang besar awal pagi tadi.

Dengan pemain tonggak itu kekal cergas manakala Eden Hazard masuk sebagai pemain gantian bagi penampilan keduanya sejak pembedahan buku lali hujung musim lalu, Conte yakin Chelsea hadir pada perlawanan jiran setempat London itu dalam keadaan terbaik untuk meraih tiga mata berharga.

“Ia permulaan baik dan sempurna buat kami,” kata Conte.

“Untuk bermain aksi pertama Liga Juara-Juara, kemudian menang dengan keputusan baik, menjaringkan banyak gol, mengakhiri perlawanan tanpa dibolosi.

“Saya menyaksikan banyak perkara positif. Kini kami perlu berehat dan bersedia bagi perlawanan sukar menentang pasukan kuat Arsenal.”

Percaturan Conte tidak menampakkan sebarang bahaya apabila gol Pedro Rodriguez, Davide Zappacosta, Tiemoue Bakayoko, Cesar Azpilicueta dan Michy Batshuayi memastikan Chelsea bermula garang bagi kempen peringkat kumpulan.

Memberikan pemain pelapisnya peluang memperagakan aksi satu bonus tambahan buat Conte yang berkata: “Saya mahu memberi peluang kepada Michy dan juga Andreas Christensen.

“Untuk bermain dalam Liga Juara-Juara bermakna jurulatih percaya dengan anda.

“Mesej saya malam ini: saya percaya dengan semua pemain saya, bukan setakat dengan kata-kata tapi dengan hakikat.

“Musim lalu kami bermain hanya dengan 13 pemain, untuk melakukannya sekali lagi pasti gila.

“Kami perlu membentuk pemain ini, cuba mencipta persaingan baik dan sihat antara mereka. Ia amat penting.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2017 @ 2:52 PM