NASIB Wee Kiong (kiri) dan V Shem hanya akan diketahui minggu depan. -Foto fail
Fabian Peter
fabian.mark@nst.com.my


PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria tegas mengatakan bahawa masa depan beregu utama negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong akan hanya ditentukan selepas mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) minggu depan.

V Shem-Wee Kiong yang digandingkan pada 2014 untuk membawa cabaran negara pada saingan Piala Thomas di New Delhi, dikritik hebat selepas gagal menyerlah musim ini termasuk tersingkir di pusingan kedua Kejohanan Dunia di Glasgow.

Turut difahamkan, beregu yang pernah memenangi perak di temasya Olimpik Rio 2016 dilihat bergelut untuk terus berganding dan menjadikan masalah peribadi sebagai alasan.

Sejak awal tahun ini, bekas juara Pusingan Akhir Super Siri Dunia itu gagal melepasi peringkat suku akhir dalam semua kejohanan yang disertai.

Bagi memburukkan lagi keadaan, V Shem-Wee Kiong menarik diri dari Terbuka Korea dan Terbuka Jepun minggu depan.

Minggu lalu, V Shem menyatakan dia sedia untuk kembali manakala Wee Kiong pula berada di Vietnam untuk berbincang dengan ketua jurulatih beregu lelaki, Cheah Soon Kit.

Masih belum ada petanda mengenai pemain yang akan bergandingan dengan mereka tetapi khabar angin menyebut naib juara Malaysia Masters, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani akan dipecahkan untuk bersama senior mereka itu.

Bekas pemain kebangsaan, Lee Wan Wah dan Koo Kien Keat mencadangkan supaya V Shem-Wee Kiong menyelesaikan sendiri masalah mereka.

Keputusan badan induk kebangsaan itu pasti dinanti banyak pihak apatah lagi Malaysia sudah melaungkan azam untuk memenangi Piala Thomas tahun depan.

Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost berkata, Malaysia perlu memiliki sekurang-kurangnya dua beregu yang menduduki kelompok 10 teratas dunia jika mahu menjulang Piala Thomas tetapi dengan masalah berkenaan, Malaysia perlu bergantung kepada gandingan nombor 20 dunia, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2017 @ 10:45 PM