KHAIRY (kanan) memberi kata-kata semangat kepada skuad Para angkat berat negara yang sedang jalani latihan. -Foto OSMAN ADNAN
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


MENTERI Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar percaya saingan pasti sengit untuk Malaysia muncul juara keseluruhan Sukan Para ASEAN di Kuala Lumpur yang bermula Ahad ini.

Indonesia sudah melaungkan keyakinan untuk muncul juara keseluruhan apabila meletakkan sasaran 107 emas dengan 200 atlet mereka menyertai 11 jenis sukan.

Juara bertahan dua tahun lalu, Thailand yang tidak mendedahkan sasaran rasmi namun menghantar 291 atlet untuk menyertai 15 daripada 16 jenis sukan dipertandingkan, turut melaungkan keazaman untuk memenangi sebanyak mungkin emas.

Malaysia sebagai tuan rumah, menghantar 326 atlet meletakkan sasaran 103 emas dan menyertai 289 dari 368 acara dipertandingkan.

“Sasaran kita adalah 103 emas namun tidak diletakkan sebagai juara keseluruhan, jumlah berkenaan mungkin membolehkan Malaysia berada di tempat kedua.

“Namun dengan semangat Sukan SEA yang baru berakhir selain kelebihan sebagai tuan rumah, saya percaya dan yakin kontinjen negara mampu mengatasi sasaran itu.

“Apabila sudah melepasinya, mungkin kita boleh menyaingi Indonesia dan Thailand yang meletakkan sasaran yang lebih kurang sama. Justeru, saya melihat saingan kali ini lebih sengit daripada Sukan SEA,” katanya.

Kontinjen Malaysia di Sukan SEA mempamerkan dominasi ketara apabila meraih 145 emas, meninggalkan Thailand di tempat kedua dengan 72 emas.

Jelas Khairy, bagi menjadi juara keseluruhan agak sukar berdasarkan prestasi kontinjen negara pada beberapa temasya Para ASEAN sebelum ini.

“Bagaimanapun saya percaya dan yakin jika mendapat sokongan padu penyokong, kita boleh memberi saingan kepada Indonesia dan Thailand.

“Semangat atlet berkobar-kobar sejak bertemu mereka beberapa hari lalu sehingga kini. Saya percaya sokongan akan memberi suntikan semangat kepada mereka. Saya tidak risau semangat mereka kerana sudah bersedia,” tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2017 @ 8:39 PM