KHAIRY (dua dari kanan) meluangkan masa melawat gelanggang pertandingan acara Angkat berat para di Mitec. -Foto OSMAN ADNAN
Khairil S Iswan
mkhairil@bh.com.my


SEMUA venue bagi Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur yang dijamin mesra Orang Kurang Upaya (OKU) sudah bersedia sepenuhnya ketika temasya dwitahunan itu berbaki dua hari lagi.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika melawat venue di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) jelas berpuas hati dengan persiapan dijalankan terutama bagi memenuhi keperluan atlet dan penonton istimewa.

“Segala persiapan berjalan seperti dirancang dengan venue pertandingan nampaknya sudah bersedia untuk terima atlet dan penyokong.

“Dari sudut persiapan, kita buat pelbagai pengubahsuaian terutama untuk atlet dan penyokong OKU. Jadi beberapa pengubahsuaian sudah dibuat, antaranya untuk akses yang lebih mudah.

“Di beberapa venue, kita sudah sediakan beberapa ‘ram’ bagi bolehkan atlet kerusi roda masuk ke gelanggang serta kawasan dikhaskan untuk penonton berkerusi roda,” katanya.

Mengulas lanjut, Khairy berkata pihak penganjur turut membuat pengubahsuaian termasuk kemudahan tandas bagi memberi kemudahan kepada mereka yang berkerusi roda selain pengangkutan awam.

“Jika kita hanya bergantung kepada tandas OKU, ia memang tidak cukup. Sebab hanya ada satu tandas OKU untuk satu kawasan. Jadi tandas biasa ini diubahsuai supaya sesiapa yang berkerusi roda juga boleh menggunakannya di mana pintunya dibesarkan.

“Dari sudut pengangkutan, kita sediakan tempat letak kereta untuk OKU. Di sebahagian venue kita ada buggy yang boleh bawa atlet dari tempat letak kereta dan atlet disediakan dengan bas mesra OKU.”

MITEC akan menjadi venue bagi tujuh acara sukan iaitu boccia, bola tampar duduk, angkat berat, ping pong, catur, goalball dan bola keranjang kerusi roda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2017 @ 8:56 PM