Skuad Kedah dikendali Nidzam (kanan) sedia berdepan Selangor di Stadium Selayang malam esok. FOTO MOHD SYAFIQ RIDZUAN AMBAK
Izzali Ismail
sukan@hmetro.com.my


PENGALAMAN pemain senior bersama tenaga pemain muda menjadi taruhan pasukan Kedah untuk mendapat kelebihan pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Selangor di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, esok.

Ketua Jurulatihnya, Nidzam Adzha Yusoff berkata, dia mahu anak buahnya kekal fokus dalam perlawanan yang diibaratkannya ulangan final lalu sehingga wisel penamat.

Baginya jurang gol amat penting sebagai bekalan perlawanan timbal balik di tempat sendiri selepas ini.

"Bertemu Selangor seperti final tahun lalu. Saya yakin dengan pengalaman yang dimiliki oleh pemain senior mampu menyerap segala tekanan beraksi di laman lawan dengan lebih baik kali ini.

"Saya mengharapkan pemain senior mewakili negara dalam skuad Harimau Malaya seperti Baddrol Bakhtiar, Syazwan Zainon dan Rizal Ghazali meneruskan perjuangan penuh semangat saingan lapan terakhir," katanya.

Nidzam Adzha mengingatkan jentera tengah Lang Merah menguasai ruang tengah agar dapat melancarkan serangan dengan lebih berkesan.

"Saya dapat merasakan pemain bersedia daripada aspek mental dan fizikal dalam menempuh perlawanan tumpuan ini.

"Kedah perlu mengelak perangkap Selangor yang cuba mengikat jentera serangan untuk mendapat bekalan gol.

"Bahagian serangan Kedah harus berhati hati dan bijak mengatur strategi dengan taktikal bakal diatur barisan pertahanan skuad Selangor dikendali jurulatih P Maniam," katanya.

"Saya sedar tugas cukup mencabar buat anak didik saya di Selayang namun yakin dengan perancangan kami atur. Kami mahu bangkit selepas kami dikejutkan dengan berita sedih kemangkatan Sultan Kedah, Isnin lalu.

"Inilah peluang harus kami manfaatkan dengan mengutip bekalan bagi mengukuhkan kedudukan supaya kami mempunyai kelebihan pada perlawanan timbal balik di Alor Setar nanti," katanya.

Enam perlawanan menemukan dua pasukan ini sejak 2015 menyaksikan Kedah selaku penyandang juara Piala Malaysia 2016 menang satu perlawanan, tewas satu perlawanan dan seri empat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2017 @ 8:57 PM