Mohd Khairie Khalid
khairie@bh.com.my


MUNGKIN rezeki menjadi juara dan memenangi emas di tempat lain, bukan di tanah air sendiri.

Itu antara pengakuan prospek emas negara sukan angkat berat para, Mohd Shahmil Md Saad (gambar) yang tidak dapat beraksi gara-gara bergelut dengan kecederaan.

Shahmil menjelaskan dia mengalami kecederaan bahu selepas berakhirnya Paralimpik Rio 2016 dan sudah pulih, tetapi nasib tidak menyebelahinya apabila berdepan kecederaan cervical discs di bahagian tengkuk, Ramadan lalu.

Sambil mengakui kecewa, atlet itu tidak mahu menjadikan kecederaan itu sebagai halangan sebaliknya berazam tampil cemerlang di Sukan Komanwel, Gold Coast, Australia dan Sukan Para Asia di Jakarta, Indonesia pada 2018.

“Memang kecewa sebab selepas menjalani pembedahan bahu, saya sudah bersedia, malah angkatan sudah menghampiri catatan peribadi terbaik, 200 kilogram (kg). Tak sangka pula cedera di tempat lain.

“Tiga kali berturut-turut saya menang emas di negara lain tapi apabila tiba giliran di tempat sendiri, saya tidak dapat lakukannya.

“Harapan saya agar kawan-kawan dapat lakukany yang terbaik. Ini rumah kita, dapatkan sebanyak mungkin emas,” katanya yang juga atlet Program Podium di Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kg Pandan semalam.

Mengulas lanjut, Shahmil yang memenangi emas Para ASEAN pada 2011, 2013 dan 2015 serta perak Sukan Para Asia, Incheon 2014 berkata dia dijangka tidak dapat menjalani latihan kira-kira enam bulan.

Selain Shamil, dua emas lain disumbangkan Yee Khie dalam kategori 97kg dan atlet wanita, Sona Agon (67kg) di Singapura dua tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2017 @ 9:14 PM