PENYOKONG Cologne meraikan gol. -FOTO/ REUTERS
AFP

PARIS: Alexis Sanchez menjaringkan gol menarik ketika Arsenal bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Cologne 3-1 dalam pertembungan Liga Europa, sebentar tadi.

Perlawanan berkenaan tertangguh kira-kira sejam susulan kekacauan penonton.


SANCHEZ (tengah) ledak gol kebangkitan Gunners. -FOTO/ AFP

Perlawanan pembukaan Kumpulan H di Emirates itu terpaksa ditangguhkan kepada jam 9.05 malam waktu England susulan kebimbangan keselamatan penonton yang dicetuskan ribuan penyokong Cologne yang tiba ke stadium tanpa tiket.

Polis mengesahkan empat tangkapan dibuat sebelum sepak mula ketika turut wujud laporan berlaku kekacauan di dalam stadium.

Ketika perlawanan berlangsung, penyokong pelawat terlebih dulu ceria apabila rembatan dari jarak 36 meter oleh Jhon Cordoba meletakkan Cologne di depan selepas penjaga gol Arsenal, David Ospina terperangkap di kawasannya.

Arsenal memperbaiki permainan pada babak kedua selepas rembatan voley pemain gantian Sead Kolasinac memberikan jaringan penyamaan sebelum Sanchez meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-67.


GOL Bellerin (dua dari kiri) pastikan kemenangan Arsenal. -FOTO/ REUTERS

Jaringan penyerang Chile berpunca daripada gerakan di sebelah kiri itu cukup menarik sebelum Gunners mengesahkan mata penuh apabila Hector Bellerin menjadikan kedudukan 3-1 pada lewat permainan.

“Kemenangan dan kebangkitan daripada kekalahan meningkatkan semangat kami. Kami akan berlatih bersungguh-sungguh untuk menghadapi perlawanan selepas ini dan bersedia bagi minggu ini,” kata Bellerin dengan Arsenal dijadual menentang Chelsea, Ahad ini.

Skuad bimbingan Arsene Wenger dalam kempen Liga Europa selepas ini ialah di Belarus menentang BATE Borisov yang mencatat keputusan seri 1-1 bertemu Red Star Belgrade.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2017 @ 9:44 AM