PEMAIN Everton, (dua dari kiri) menanduk bola ke gawang Atalanda. -FOTO/ REUTERS
AFP

PARIS: Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Everton memulakan kempen Liga Europa dengan langkah kiri selepas anak buah Ronald Koeman itu tumbang 3-0 kepada kelab Itali, Atalanta.

Atalanta yang kembali ke kancah Eropah selepas 26 tahun terpaksa menanti kunjungan Everton di Reggio Emilia yang letaknya dua jam perjalanan daripada laman mereka di Bergamo berikutan stadium tidak mempunyai lesen beraksi di pentas Eropah.

Begitupun, ia tidak menjadi penghalang buat skuad bimbingan Gian Piero Gasperini untuk mendominasi Everton dengan ketiga-tiga gol dijaringkan pada babak pertama menerusi Andrea Masiello, Alejandro Gomez dan Bryan Cristante.

PENYERANG Everton, Wayne Rooney (kiri) gagal menembusi gawang Atalanta. -FOTO/ AFP

Penjaga gol, Maarten Stekelenburg kembali dalam kesebelasan utama Everton selepas Koeman melakukan enam perubahan susulan kekalahan 3-0 di laman sendiri kepada Tottenham Hotspur dalam kempen Liga Perdana Inggeris minggu lalu.

Dia melakukan aksi menyelamat baik untuk menafikan cubaan awal Masiello, namun terperangkap kurang setengah jam perlawanan berlangsung dengan pemain sama berpunca daripada sepakan sudut selepas Gylfi Sigurdsson secara tidak sengaja menampan bola ke belakang.

Sepakan serong kapten Atalanta, Gomez meletakkan tuan rumah mendahului 2-0 empat minit sebelum babak pertama berakhir diikuti jaringan ketiga oleh Cristante berpunca gerakan Andrea Petagna seminit sebelum rehat.

Atalanta mampu menang dengan keputusan lebih besar namun cubaan Remo Freuler sekadar menggegar palang pada babak kedua.

“Banyak kesilapan yang dilakukan. Pada separuh masa pertama mereka lebih agresif, lebih bersemangat dan ia adalah menyakitkan kerana pada pendapat saya ia bermula dengan perkara itu dan kemudian kamu perlu mempunyai kualiti dengan bola,” kata Koeman kepada BT Sport.

“Komitmen yang kesungguhan yang mereka tunjukkan pada babak pertama lebih kuat berbanding kami.”

Lawan Everton selepas ini dalam Kumpulan E adalah Apollon Limassol di laman sendiri. Kelab dari Cyprus itu mencatat keputusan seri 1-1 bertemu kelab Perancis Lyon.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2017 @ 11:34 AM