BALE (kanan) hanya ledak satu gol daripada enam penampilan musim ini. -FOTO/AFP
Reuters

MADRID: Pemain tengah Real Madrid, Casemiro mempertahankan rakan sepasukannya, Gareth Bale selepas bintang Wales itu diejek di Santiago Bernabeu ketika melakar kemenangan 3-0 ke atas APOEL Nicosia dalam saingan Liga Juara-Juara.

Sekali pun membuka ruang untuk Cristiano Ronaldo meledak gol menerusi hantaran tepatnya, Bale sekali lagi menjadi mangsa ejekan sebahagian penyokong Real selepas hanya menjaringkan satu gol sepanjang enam penampilan musim ini.

Ketika pemain berusia 28 tahun itu dikeluarkan, pemain-pemain senior Real menggalakkan peminat untuk memberi tepukan kepadanya termasuk Casemiro.


CASEMIRO (kanan) mahu penyokong usah sindir Bale. -FOTO/AFP

“Kamu boleh melihat dia tidak berada di tahap terbaiknya ketika ini, namun dia bekerja keras untuk pasukan, rembatan, berusaha keras dan itulah Bale yang kami mahukan,” kata Casemiro.

Meskipun bekas pemain Tottenham itu sering dipalit kecederaan musim lalu, jurulatih Zinedine Zidane yakin pemain yang dibeli dengan rekod dunia satu ketika dulu itu mampu membuktikan nilainya.

“Sedikit demi sedikit kami melihat kembali Gareth. Selepas empat bulan tersisih akibat kecederaan, kamu memerlukan sedikit masa untuk pulih,” kata legenda Perancis itu.

“Saya fikir kita akan lihat dia akan terus meningkat. Saya gembira dengan apa yang dilakukannya. Kami perlu memberikannya masa.”

Real mencatat dua keputusan seri dalam tiga perlawanan La Liga tanpa kehadiran penyerang bintang, Ronaldo yang digantung dan ketinggalan empat mata di belakang pendahulu, Barcelona.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2017 @ 2:40 PM