NASIR HAMZAH. -Foto fail
Hasbullah Ibrahim


CALON Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Mohamad Nasir Hamzah menganggap penarikan diri dua calon lain bakal memberi laluan mudah kepadanya, namun mengingatkan pencabarnya supaya tidak terbabit dengan anasir tidak sihat.

Naib Presiden KAFA itu dicalonkan merebut jawatan presiden bersama dua lagi calon yang menarik diri dari bertanding - Datuk Rosmadi Ismail serta Pengerusi Chengal Jati Sdn Bhd, Datuk Ir Shaari Hassan.

Kini, perebutan jawatan presiden badan induk bola sepak negeri itu yang dijadualkan berlangsung pada Ahad ini bakal menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Mohamad Nasir dan usahawan wanita, Bibi Ramjani Ilias Khan.

Mohamad Nasir berkata, kekuatannya hanya berdasarkan prinsip berpegang teguh atas kekuatan diri sendiri tanpa menyentuh peribadi calon yang bertanding.

“Saya yakin saya calon paling layak untuk memenangi kerusi presiden, namun sedikit kecewa kerana gagal mengekalkan tradisi menang tanpa bertanding selepas dicabar Bibi Ramjani.

“Malah, saya tetap menyahut cabaran untuk membina The Red Warriors (TRW) serba baharu, berdaya saing dan kembali digeruni lawan musim hadapan.

“TRW dan PBJ (Persatuan Bola Sepak Jajahan) bakal menjadi sebuah organisasi yang bukan saja hebat dalam arena bola sepak, tetapi berperanan melahirkan bakat muda berpotensi,” suatu hari nanti.

“Insya-Allah saya akan mentadbir KAFA secara profesional di samping menyelesaikan kemelut dihadapi pemain dan serta pegawai dalam Kongres Agung Tahunan Ke-63 pada 17 September ini,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau turut menegaskan, pengurusan KAFA akan ditadbir secara holistik dan berintegrasi terutama bebas daripada segala anasir seperti rasuah yang sentiasa membelenggu persatuan bola sepak negeri sejak kebelakangan ini.

Ditanya mengenai keputusan Bibi Ramjani yang tidak berganjak daripada keputusannya untuk bertanding, Mohamad Nasir berkata, beliau menghormati keputusan usahawan wanita itu sekali gus bakal mencetuskan persaingan sihat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2017 @ 5:41 PM