PAULINHO (kiri) jaring gol kemenangan Barcelona ketika menentang Getafe. -Foto Reuters
AFP

MADRID: Paulinho meledak gol sulungnya buat Barcelona ketika pelawat bangkit daripada ketinggalan sebelum menang 2-1 di Getafe sekali gus unggul tujuh mata di depan Real Madrid di puncak carta La Liga Sepanyol.

Barca menerima tamparan berganda sebelum rehat apabila pemain termahal Ousmane Dembele terhincut-hincut kerana kecederaan hamstring sebelum gol voli menakjubkan Gaku Shibasaki pada minit ke-39 membantu Getafe mendahului.

Bagaimanapun, pemain simpanan sekali lagi menjadi penyelamat apabila Denis Suarez dan Paulinho masuk pada babak kedua untuk mengubah keputusan perlawanan.

“Saya amat gembira menjaringkan gol itu. Ia gol kemenangan yang paling penting,” kata Paulinho.

“Perlawanan ini sukar kerana Getafe mempamerkan kualiti dan kami melepaskan gol pertama tapi kami tenang, bersabar dan berusaha mencari gol.”

Suarez menggantikan Andres Iniesta sebaik selepas rehat dan dia mencetus kebangkitan Barca dengan gol penyamaan pada minit ke-62 apabila dia menyambar hantaran Sergi Roberto sebelum menewaskan penjaga gol Levante, Vicente Guaita.

Ketika Lionel Messi dan Luis Suarez dikawal ketat, Paulinho mencuri tumpuan apabila dia menyumbat masuk gol kemenangan enam minit sebelum tamat hasil lorongan cantik Messi.

“Ia satu ujian penting buat kami. Kami berjaya mengubah keputusan perlawanan dan reaksi hebat pasukan ini terlalu bermakna,” kata jurulatih Barca, Ernesto Valverde.

Sementara itu, Antoine Griezmann memastikan Malaga tidak menjejaskan parti Atletico Madrid di stadium baru Wanda Metropolitano dengan kapasiti 68,000 apabila meledak gol tunggal kemenangan 1-0, awal pagi tadi.

Penyerang kebangsaan Perancis itu, yang kembali beraksi selepas dua penggantungan perlawanan La Liga, merembat masuk hantaran lintang Angel Correa selepas sejam bagi membantu Atletico melonjak ke tangga ketiga liga.

“Saya bangga menjaringkan gol pertama di stadium menakjubkan ini dan harapnya ia gol pertama dan bukan terakhir,” kata Griezmann.

“Bagi saya ia stadium terbaik pernah saya beraksi dan saya bukan menyatakannya hanya kerana ia kelab saya.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2017 @ 9:51 AM