PERISIC (kanan) jaring gol kedua Inter. -Foto Reuters
PERISIC (kanan) jaring gol kedua Inter. -Foto Reuters
AFP

MILAN: Inter Milan meraih kemenangan keempat dalam empat perlawanan untuk menghuni tangga teratas Serie A dengan kemenangan 2-0 di Crotone awal pagi tadi ketika AS Roma mudah membenam Verona 3-0.

Kemenangan di Calabria membolehkan Inter kendalian Luciano Spalletti meletakkan diri mereka dalam kalangan pencabar kejuaraan di samping juara bertahan Juventus dan Napoli, yang turut membida kemenangan keempat lewat malam ini.

Namun anak buah Spalletti mengalami kesukaran di wilayah paling selatan Itali hinggalah gol lewat Milan Skriniar dan meletakkan mereka di depan.

“Ia tidak mudah,” kata Spalletti. “Menang dalam keadaan sebegini membuktikan kami boleh menyesuaikan diri.

“Terlalu panas di Calabria, padang terlalu kering dan bola bergerak perlahan manakala angin turut mencetus masalah pada babak pertama.”

Bagaimanapun bekas bos Roma, Spalletti enggan terbawa-bawa sekalipun pasukannya bertindak cemerlang musim ini.

“Kami tidak berminat dengan carta liga ketika ini, kami hanya melakukan apa yang patut kami lakukan. Ia satu kempen panjang buat kami dan kami tidak boleh melakukan kesilapan ketika ini.”

Crotone mengejutkan Inter 2-1 di Stadio Ezio Scida April lalu dalam kekalahan yang menamatkan usaha Milan bermain di Eropah musim ini.

Kemenangan Roma di Stadio Olimpico membolehkan pasukan dari ibu negara itu melonjak ke pertengahan liga dan mengendurkan tekanan buat jurulatih Eusebio Di Francesco selepas seri tanpa jaringan dengan Atletico Madrid dalam Liga Juara-Juara.

Edin Dzeko, yang mencuri tumpuan apabila mengkritik taktik Di Francesco ketika seri dengan Atletico, menyumbat dua gol pada minit ke-34 dan 61 manakala Radja Nainggolan meletakkan Roma di depan pada minit ke-22.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2017 @ 11:36 AM