HEWITT (tengah), Thompson (kanan) dan Peers meraikan kemenangan ke atas Belgium. Foto -AFP
AFP

PARIS: Australia semakin menghampiri final Piala Davis pertama dalam tempoh 14 tahun apabila Jordan Thompson dan John Peers membenam Arthur De Greef dan Ruben Bemelmans 6-3, 6-4, 6-0 untuk mendahului Belgium 2-1 pada separuh akhir, awal pagi tadi.

Australia, juara 28 kali, dalam laluan terbaik berdepan pemenang sembilan gelaran Perancis yang mendahului Serbia 2-1 selepas beregu Nicolas Mahut dan Pierre-Hugues Herbert menang 6-1, 6-2, 7-6 (7/3) ke atas Nenad Zimonjic dan Filip Krajinovic.

Australia diketuai Lleyton Hewitt kali terakhir menjuarai Piala Davis pada 2003 apabila mereka mengalahkan Sepanyol pada final.

“Kami ada tugas hari ini dan melaksanakannya dari mula hingga habis. Bermain dengan Thommo dan di depan penonton ini dan beraksi dengan cara kami lakukan amat menakjubkan,” kata Peers selepas kemenangan di Brussels itu.

Nick Kyrgios boleh memastikan kemenangan buat Australia hari ini apabila dia berdepan pemain nombor satu Belgium, David Goffin dalam perlawanan perseorangan.

Kyrgios menewaskan Steve Darcis 6-3, 3-6, 6-7 (5/7), 6-1, 6-2 Jumaat lalu manakala Goffin menundukkan John Millman 6-7 (4/7), 6-4, 6-3, 7-5.

Di Lille, Mahut dan Herbert memerlukan kurang dua jam untuk menewaskan kapten Serbia berusia 41 tahun, Zimonjic dan Krajinovic.

Tuan rumah diketuai Yannick Noah belum pasti menempah tiket ke final selepas kemenangan mengejut Dusan Lajovic ke atas Lucas Pouille 6-1, 3-6, 7-6 (9/7), 7-6 (7/5) Jumaat lalu sekalipun Jo-Wilfried Tsonga menyamakan kedudukan dengan mengalahkan Laslo Djere 7-6 (7/2), 6-3, 6-3.

Mahut dan Herbert, juara Terbuka AS 2015 dan Wimbledon 2016, bangkit daripada ketinggalan 2-5 pada set ketiga sebelum memastikan kemenangan.

Perancis memburu kejuaraan Piala Davis pertama sejak 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2017 @ 2:26 PM