BIBI Ramjani (kiri) bersama Timbalan Presiden yang kekal menjadi milik Datuk Seri Afandi Hamzah. FOTO Fathil Asri
Mohamad Zulhairie Manzaidi


“SAYA minta penyokong beri masa untuk saya menaikkan semula kegemilangan pasukan Kelantan,” kata Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan.

Usahawan wanita itu diumumkan sebagai Presiden KAFA selepas menewaskan Datuk Mohamad Nasir Hamzah dengan menerima 32 undi dalam Kongres Tahunan KAFA Ke-63 di Kota Bharu, malam tadi.

Bibi Ramjani ketika ditemui meminta penyokong agar memberinya masa dan akan cuba sebaik mungkin bagi menaikkan semula kegemilangan pasukan Kelantan.

"Saya sudah ada pasukan dan mereka akan bantu saya. Pada masa yang sama, saya akan terus bekerjasama dengan semua pihak termasuk yang tewas dalam pemilihan.

"Sasaran utama adalah untuk kekal saingan Liga Super dan saya akan cuba sebaik mungkin," katanya ketika ditemui di Kota Bharu, malam tadi.

Ditanya mengenai pemilihan hari ini, dia hanya menyerahkan keputusan kepada Persatuan Bolasepak Jajahan (PBJ) untuk melakukan pemilihan.

"Syukur ke hadrat Illahi dan saya sungguh tidak menyangka akan menjawat jawatan ini kerana PBJ pun saya tidak kenal.

"Terima kasih kepada PBJ kerana sokongan padu mereka amat saya hargai dan perjuangan ini akan diteruskan," katanya.

Dalam kongres itu, jawatan Timbalan Presiden kekal milik Datuk Seri Afandi Hamzah (29) selepas menewaskan Datuk Rosmadi Ismail (21)

Jawatan Naib Presiden menyaksikan tiga muka baru iaitu Datuk Aizuddin Mohd Ghazali, (39) Nik Pakheruddin Nik Abdul Kadir (27) dan Datuk Nik Izani Nik Ibrahim (21).

Berita berkaitan:

Bibi Ramjani Presiden KAFA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2017 @ 12:50 AM