Bibi Ramjani mahu tahu kedudukan sebenar KAFA. FOTO FATHIL ASRI
Mohamad Zulhairie Manzaidi


MENYELESAIKAN masalah pendaftaran Kelantan untuk liga musim depan dan tunggakan hutang termasuk gaji pemain jadi tumpuan Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Bibi Ramjani Ilias.

Menurutnya, beliau akan berusaha mencari jalan menyelesaikan isu berkenaan sekali gus memastikan bolasepak Kelantan terus bertahan.

Untuk itu, katanya, mesyuarat bersama kepimpinan persatuan itu turut diadakan malam ini untuk mengetahui kedudukan sebenar KAFA.

"Jumlah sebenar hutang KAFA masih belum diketahui jelas kerana saya pun baharu sahaja dilantik.

"Saya sudah aturkan mesyuarat malam ini untuk melihat dan menilai dengan lebih terperinci dokumentasi KAFA sebelum ini dan jumlah sebenar hutang yang masih belum pasti.

"Malah pemain yang saya temui di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV turut menuntut gaji Julai mereka yang masih belum dijelaskan pengurusan," katanya di Kota Bharu, hari ini.

Bibi Ramjani berkata, akan berusaha memastikan The Red Warriors (TRW) kekal dalam Liga Super dan menuntut pemain supaya beraksi bersungguh-sungguh demi nama baik Kelantan.

Dalam Kongres Tahunan KAFA ke-63, semalam, Bibi Ramjani diumum pengisi kerusi Presiden menggantikan Tan Sri Annuar Musa yang meninggalkan kerusi itu pada November lalu.

Beliau menewaskan Datuk Mohamad Nasir Hamzah yang juga Naib Presiden KAFA yang lalu. Kongres itu turut menyaksikan Datuk Seri Afandi Hamzah kekal dengan jawatannya sebagai Timbalan Presiden.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2017 @ 7:05 PM