FROST serah surat peletakan jawatan kepada BAM Isnin lalu. - Foto fail
Fabian Peter


PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) membuat kejutan dengan mengumumkan peletakan jawatan pengarah teknikal, Morten Frost hari ini.

Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria yang juga pengerusi jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) mengumumkan perkara itu selepas mesyuarat yang diadakan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara.

Norza berkata, bekas pemain Denmark berusia 59 tahun itu menyerahkan surat peletakan jawatannya pada Isnin lalu atas alasan peribadi.

“Dengan berat hati, saya mengumumkan bahawa BAM sudah menerima surat peletakan jawatan pengarah teknikal, Morten Frost.

“Pengurus besar (Michelle Chai) akan berbincang dengan beliau mengenai butiran lanjut dan buat masa ini, semua lima ketua jurulatih akan melaporkan diri kepada C&T.

“Michelle akan turut memainkan peranan sebagai perantara kepada semua ketua jurulatih untuk membentuk sistem sokongan yang sewajarnya,” kata Norza.

Ketika ini, jawatan selaku ketua jurulatih disandang Misbun Sidek (perseorangan lelaki), Cheah Soon Kit (beregu lelaki), Tey Seu Bock (perseorangan wanita), Wong Pei Tty (beregu wanita) dan Chin Eei Hui (beregu campuran).

Beberapa siri keputusan mengecewakan (Kejohanan Dunia di Glasgow, Sukan SEA Kuala Lumpur dan Piala Sudirman pada Mei lalu) dilihat sebagai antara punca yang mendorong Frost untuk meletakkan jawatannya.

Perkara lain yang dibincangkan pada mesyuarat semalam termasuklah memisahkan beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong selain pengenalan kepada sistem ganjaran baru kepada pemain.

V Shem-Wee Kiong yang gagal menghasilkan keputusan positif tahun ini akan diuji untuk bersama pemenang pingat perak KL2017, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi di Terbuka Perancis dan Bitburger bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2017 @ 9:31 PM