ICARDI (kanan) dan Perisic (gambar kecil) sandaran Spalletti berdepan Bologna. -Foto Agensi
AFP

MILAN: Bos Inter Milan, Luciano Spalletti menyandarkan harapan kepada Mauro Icardi dan Ivan Perisic untuk menambah gol mereka dalam usaha melakar kemenangan kelima daripada lima perlawanan Serie A menentang Bologna.

Inter berkunjung ke selatan di wilayah Emilia-Romagna bagi aksi tunggal Serie A awal pagi esok manakala baki aksi lain liga Itali dilangsungkan awal pagi Khamis ini.

Anak buah Spalletti ternyata membuktikan wibawa mereka memburu kejuaraan selepas menang 2-0 di Crotone hujung minggu lalu bagi membolehkan mereka berada di kelompok teratas di belakang Napoli dan juara bertahan Juventus menerusi perbezaan jaringan.

Pada minggu yang sibuk, kunjungan Inter ke Bologna disusuli dengan menanti kehadiran Genoa di San Siro, Ahad ini.

Spalletti mahu bentengnya kekal mantap dengan hanya satu gol dibolosi setakat ini musim ini.

Namun beliau turut mengintai “bahagian tengah yang dinamik... untuk menjadikan pasukan itu tidak mudah dijangka” selain memberikan lebih ruang kepada penyerang.

“Saya masih perlu memutuskan siapa yang akan bermain di tengah menentang Bologna,” katanya.

Bagaimanapun beliau mengharapkan Icardi, yang menyumbat lima gol dan Perisic, yang meledak tiga gol, membantu mereka meraih tiga mata.

“Icardi dan Perisic banyak dipuji sejak beberapa minggu ini tapi ketika kami amat memerlukan mereka, mereka juga memerlukan kami dan pasukan secara keseluruhan.

“Semua pasukan hebat menyedari betapa berharganya pemain individu tapi jika mereka tidak boleh menjadi penentu kemenangan, hanya permainan secara kolektif boleh membantu anda memenangi perlawanan.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2017 @ 11:29 AM